Di Masjid Lama Kampung Panchang Bedena, ada satu perkara yang sudah sebati dengan penduduk setempat.
Masjid lama yang dibina sekitar tahun 1905 di Sabak Bernam, Selangor, hari ini, ia lebih dikenali dengan satu nama yang cukup menggerunkan iaitu Masjid Jin.
Menurut seorang penduduk kampung, Kak Sid, suasana di masjid itu berubah sepenuhnya apabila malam menjelma.
“Penduduk di sini, sudah biasa. Di Masjid Jin, siang nampak biasa, tapi bila malam, lain macam. Sunyi dia bukan sunyi kosong… macam ada ‘sesuatu’,” katanya perlahan.
Rasa ingin tahu membawa penulis sendiri ke masjid tersebut pada waktu suatu petang.
Dari jauh, binaannya tampak indah, klasik, tenang, seolah-olah menyimpan sejarah yang panjang.
Cahaya matahari yang menembusi celah pokok sekitarnya, menambahkan seri pada struktur lama itu.
Tidak keterlaluan jika dikatakan, ada satu ‘aura’ yang membuatkan sesiapa sahaja teruja untuk merakam gambar. Entah kenapa, rasa tertarik sangat.
“Assalamualaikum…” Penulis beri salam walaupun sedar tiada jemaah di masjid ketika itu.
Namun, sebaik melangkah masuk ke perkarangan masjid, perasaan itu mula berubah.
Suasana tiba-tiba menjadi terlalu sunyi. Angin yang bertiup terasa dingin, walaupun cuaca masih panas.


Langkah diperhatikan
Setiap langkah terasa diperhatikan. Betul. Macam diperhatikan, walaupun tiada sesiapa di sekeliling.
Dalam hati berkata, menyesal pula datang seorang diri, gigih memandu dari Kuala Lumpur yang mengambil masa lebih dua jam.
Disebabkan pintu masuk ke ruang solat dikunci ketika bukan waktu solat, penulis hanya merakamkan foto di perkarangan masjid.
Menurut penduduk kampung, kata mereka, langkah itu diambil bagi mengelakkan sebarang unsur khurafat atau pemujaan terhadap jin.
Tiba-tiba angin kuat bertiup. Penulis berhenti. Diam. Namun, tiada apa yang pelik rasanya, sebab suasana kampung memang kuat anginnya. Sebenarnya, kata begitu, sebab nak sedapkan hati


‘Malam lagi kuat…’ – Kak Sid
Menurut Kak Sid, apa yang dirasai penulis itu hanyalah ‘permulaan’.
“Kalau malam, lagi jelas. Bunyi orang mengaji, berzikir. Tapi dalam masjid gelap, kosong. Memang tiada orang.
“Lebih meremangkan, ada yang pernah solat berjemaah hanya bertiga di situ, mendakwa mereka tidak benar-benar bersendirian. Macam penuh satu masjid.
“Bila dia solat, bunyi ramai yang ‘amin’kan. Seolah-olah satu masjid penuh sedang berjemaah. Haa.. Itu merekalah (jin) tu…
“Bila rukuk, ada bunyi ikut. Tapi bila bagi salam… kosong.”

Dipindahkan tanpa sedar
Kak Sid turut berkongsi satu kejadian yang berlaku tidak lama dulu.
“Seorang kontraktor yang bekerja berhampiran kawasan itu tertidur bersandar pada mimbar masjid.
“Namun apabila dia terjaga, dia mendapati dirinya sudah berada di bahagian luar di masjid itu juga.
“Macam ada yang angkat dan pindahkan dia, bukan jalan sendiri,” katanya.
Kolam yang tidak pernah kering
Di satu sudut luar masjid terdapat sebuah kolam lama untuk mengambil air wuduk.
Anehnya, walaupun sudah lebih 100 tahun, kolam itu tidak pernah kering.
Ada yang percaya… ia bukan sekadar sumber air biasa.
Sunyi yang tidak kosong
Sebelum beredar, penulis sempat menoleh sekali lagi ke arah masjid.
Peliknya, perasaan ‘diperhatikan’ itu masih kuat. Seolah-olah ada mata yang memerhati, dari balik ruang yang tidak terlihat.
Teringat kata-kata Kak Sid.
“Tempat tu bukan kosong. Cuma… kita yang tak nampak,” ceritanya mengakhiri perbualan.
Catatan: Pandangan atau komen yang diceritakan dalam artikel ini adalah pendapat serta pengalaman peribadi kepada Mastika. Tiada kaitan dengan yang hidup atau sudah meninggal dunia.

