‘Si Kecil Tudung Merah’, Akta Pembaharuan Semula Bandar (APSB)dan Program Selari Pakar Perubatan

Dari Penulis

Oleh Kamal Shukri Abdullah Sani

HAMPIR semua bangsa di dunia mempunyai cerita rakyatnya yang tersendiri. Tukang Cerita profesional masa dulu seperti Tok Selampit sangat popular sebagai pengganti media sosial, radio, televisyen yang tiada pada masa itu. Biasanya di rumah cerita ini dikisahkan atau dilagukan oleh ibu bapa atau datuk dan nenek ketika malam hari sebagai dendangan untuk memudahkan kanak-kanak tidur.

Biasanya kanak-kanak dalam kumpulan umur dua atau tiga tahun dan ke atas. Kisah tersebut bukan sahaja bertujuan menidurkan kanak-kanak tetapi banyak mesej atau pengajaran terkandung dalam ceritanya. Malah ada juga yang dapat membangkitkan semangat serta keberanian berdasarkan inti pati cerita.

Antara cerita yang popular dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia ialah siri cerita Sang Kancil, kisah binatang yang cerdik dan sering dapat menewaskan haiwan lain yang lebih besar seperti harimau, ular dan buaya. Dalam kisah sebegitu, semua binatang dapat berkata-kata seperti manusia. Ada juga cerita lain seperti Awang Telunjuk atau dalam versi Jawanya Si Jaka Kendil.

Banyak juga cerita daripada bangsa lain yang diterjemah atau diadaptasi malah ada yang mempunyai persamaan atas sifat universal antara satu bangsa dengan bangsa yang lain. Penulis kali ini ingin mengambil kisah Si Kecil Tudung Merah atau dalam bahasa asalnya “Little Red Riding Hood”.

Serigala tidak bercakap benar tentang wajahnya kerana cuba menyembunyikan niatnya.

Si Kecil mendapat gelaran “Tudung Merah” kerana selalu memakai tudung atau hud kepala berwarna merah. Dia tinggal seorang diri apabila ibu dan bapanya pergi bekerja. Pada suatu hari setelah ditinggal oleh kedua-dua ibu dan bapanya, Si Kecil Tudung Merah pun seperti biasa keluar rumah menuju ke rumah neneknya di pinggir hutan yang tidak berapa jauh dari rumahnya.

Setibanya di rumah neneknya, didapati neneknya sedang berbaring dan wajah neneknya kelihatan agak lain daripada biasa. Dia pun bertanya kepada neneknya. “Mengapa mata nenek besar? Jawab neneknya, “Supaya senang aku melihat engkau cucuku.” Dia bertanya lagi. “Mengapa hidung nenek besar?” “Supaya senang aku menciummu.” “Mengapa telinga nenek besar?” “Supaya senang aku mendengar cakapmu.” Si Kecil Tudung Merah bertanya soalan terakhir. “Mengapa gigi nenek besar?” “Supaya senang aku memakanmu, jawab serigala yang berselimut menyamar sebagai nenek Si Kecil Tudung Merah.

Apa lagi, terkejutlah kanak-kanak itu. Dia menjerit meminta tolong dan cuba lari keluar rumah. Jeritannya didengar oleh seorang tukang kayu tidak jauh dari situ yang sedang mencari kayu-kayu di hutan. Tukang kayu terus bergegas ke rumah nenek Si Kecil Tudung Merah dengan kapaknya untuk membunuh serigala tersebut. Serigala itu sempat lari dari situ dan tidak datang lagi ke situ selepas itu. Terselamatlah Si Kecil Tudung Merah. Begitulah arakian kisahnya seperti yang pernah penulis dengar dan baca semasa dalam era persekolahan rendah dahulu.

Seperti dinyatakan segala kisah apa pun, kisah benar, dongeng, sejarah dan sebagainya pasti ada terselit mesej atau pengajarannya sama ada secara tersurat mahupun tersirat. Malah ada topik tertentu dalam bidang pengurusan yang melibatkan peranan cerita dalam pengurusan seperti yang pernah dilaksanakan di sebuah institusi latihan yang penulis pernah bertugas.

Dalam pengurusan organisasi sama ada rasmi atau tidak rasmi, jabatan, syarikat sering terdapat pelaksanaan pelbagai aktiviti yang dikaitkan dengan misi, visi, dasar, falsafah organisasi tersebut sama ada bersifat politik atau tidak termasuk syarikat, jabatan hatta peringkat kementerian.

Semua perkara tersebut biasanya dijelaskan kepada setiap ahli organisasi dalam syarikat, jabatan dan kementerian tersebut. Ini penting supaya dapat dihayati oleh semua anggota organisasi demi keberkesanan tugas dan pemahaman pelanggan atau orang awam. Justeru ini dapat menghasikan penerimaan yang positif daripada orang awam. Walau bagaimanapun tidak dinafikan, kerap juga berlaku ketirisan maklumat sama ada tidak sengaja atau disengajakan terutama jika ada pihak yang berkepentingan tidak jujur atau mempunyai muslihat tertentu.

Jika direnung kisah serigala tadi, serigala tidak bercakap benar tentang wajahnya yang dilihat luar biasa kerana cuba menyembunyikan niatnya untuk memakan Si Kecil Tudung Merah. Manakala Si Kecil Tudung Merah percaya bulat-bulat jawapan Sang Serigala kerana sikap husnuzhonnya, bersangka baik terhadap orang lain yang kelihatan jujur walaupun sebenarnya penuh dengan tipu muslihat.

Merujuk cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (APSB) kita percaya telahpun didedahkan akan tujuan dan manfaatnya bagi orang awam, khasnya penduduk asal di sesebuah kediaman yang mungkin sudah daif dan rosak. Namun itu adalah semua yang tersurat di atas kertas putih yang suci lagi murni. Kita percaya tidak semua hal disuratkan. Berapa banyak program dan aktiviti yang nampak baik di atas kertas tetapi berlaku ketirisan dalam pelaksanaannya malah ada yang tidak langsung dilaksanakan.

Laporan Tahunan Ketua Audit Negara banyak membuktikan hal ini. Justeru kebimbangan akan kesan negatif oleh penduduk asal sesuatu kawasan pembangunan ada asasnya dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja, wajib diberi perhatian oleh pihak berwajib walaupun mungkin ada pihak yang telah atau cuba menafikan sebarang kesan negatifnya.

Kos yang banyak yang boleh menelan beratus bilion di Lembah Klang dan seluruh negara, peningkatan tinggi nilai unit dan hartanah boleh memberi kesan besar terhadap demografi kawasan yang dibangunkan. Jumlah pemilikan unit bebas yang berganda jumlahnya dan bernilai tinggi di kawasan asal pastinya tidak dapat menjamin akan terus menjadi milikan bumiputera sebagai majoriti asal di situ.

Akhirnya demografi boleh berubah dan memberi kesan yang besar terutama dari segi penerusan dasar membangun ekonomi bumiputera dan juga kesan politik dalam pilihan raya. Pada masa itu sudah terlambat dan sukar untuk diperbetul. Nasi menjadi bubur dan sanggupkah pemimpin sekarang dan ketika itu menelan segala kesilapan atau terus lari menyembunyikan tangan yang telah membaling batu atau menyalahkan sahaja pemimpin sekarang yang membuat keputusan tanpa berfikir panjang yang merisikokan kepentingan bangsa Melayu sebagai majoriti di negara ini?

Keputusan yang untungnya sejengkal tetapi ruginya sedepa kepada bangsa majoriti sebagai penduduk asal negara ini. Musuh dalam selimut dan gunting dalam lipatan sentiasa menanti peluang yang ada dan wajib diawasi dengan cermat. Air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Ular boleh menjadi naga, musang bisa saja berbulu ayam.

Program Selari Pakar Perubatan tidak diiktiraf beberapa negara lain seperti Singapura, Australia dan Taiwan – GAMBAR HIASAN

Begitu juga dengan “program selari” yang bertujuan untuk melahirkan pakar perubatan (parallel programme) yang hendak dilaksanakan oleh pihak tertentu. Cantik di atas kertas!. Jika diteliti dengan jujur semua yang tersurat pasti terserlah apakah sebenarnya yang tersirat. Jauhari pasti dapat mengenal manikam.

Difahamkan secara jelas dan dipercayai program tersebut tidak pun diiktiraf malah oleh universiti asal program tersebut bermula. Program Selari itu juga tidak diiktiraf beberapa negara lain seperti Singapura, Australia dan Taiwan. Walaupun telah diperingatkan oleh banyak pihak namun pihak berkepentingan tetap meneruskan usaha untuk menjayakan program selari tersebut.

Pihak berkenaan tidak pun mengambil hirau makluman tentang kesan negatif program tersebut sama ada terhadap kualitinya, kawalan dan penyeliaan, di samping isu yang boleh menjejaskan kepakaran bumiputera khususnya pada masa hadapan. Kini difahamkan beransur-ansur penyamaran seperti dalam kisah serigala dan Si Tudung Merah mulai terdedah.

Begitulah, seperti serigala yang tidak sekali-kali akan mengaku telinganya yang besar sebenarnya untuk mendengar gerak tapak kaki kedatangan Si Kecil Tudung Merah. Serigala tetap cuba meyakinkan bahawa telinganya yang besar untuk mendengar cakapan Si Tudung Merah.

Akhirnya pabila sudah terlewat, mengakulah serigala yang gigi besarnya untuk memakan Si Tudung Merah. Mujur sempat Si Tudung Merah menjerit meminta tolong. Tetapi dalam alam nyata dan persekitaran politik, jabatan dan kementerian, sempatkah Si Kecil Tudung Merah menjerit meminta tolong atau hanya selamat setelah tangan dan kakinya cedera parah digigit serigala yang telah lama mengidam daging manusia?

Moga ada keinsafan dan iktibar di sebalik kisah ini untuk pengajaran buat semua pimpinan politik Melayu di negara ini khususnya demi kepentingan bangsa, agama dan negara. Sebagai bukan penulis upahan, selagi bernafas secara ikhlas ingin mengingatkan dan menegur sesuatu yang tidak banyak orang bersedia berterus-terang menyatakan pandangan yang benar tetapi pahit agar kesilapan pemimpin masa lalu tidak diulangi oleh pemimpin kini dan masa depan. Banyak orang hanya sanggup menyatakan sesuatu yang manis dan pastinya itulah yang paling digemari kita khususnya dan semua pemimpin umumnya.

  • Penulis adalah Pengerusi Biro Insan Rabbani dan Komuniti Madani,
    Majlis Perundingan Melayu.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Ajinomoto kukuh komitmen gaya hidup sihat di NMM 2026

AJINOMOTO (Malaysia) Berhad memperkukuh komitmen dalam mempromosi pemakanan seimbang, gaya hidup aktif dan kesejahteraan masyarakat dengan sekali lagi tampil...

More Articles Like This