MALAYSIA perlu mengubah fokus dagangan walaupun Amerika Syarikat (AS) telah menurunkan kadar tarif import kepada 19 peratus berkuat kuasa hari ini.
Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, Malaysia perlu meningkatkan dagangan dengan negara-negara lain termasuk anggota ASEAN.
Selain itu, kata beliau, Malaysia juga boleh memperkukuh dagangan dengan negara-negara yang mempunyai perjanjian perdagangan antarabangsa termasuk memperkasa lagi ekonomi domestik.
Menurut Ahmed Razman, walaupun kadar tarif itu telah turun daripada 25 peratus sebelum ini, namun beliau menjangkakan penurunan permintaan terhadap barangan import negara ini ke AS selepas ini.
“Kadar itu sebenarnya masih tinggi memandangkan ada negara lain yang dikenakan tarif yang lebih rendah daripada 19 peratus.
“Pada masa sama, kita juga bukan sahaja bersaing dengan negara-negara ASEAN tetapi juga dengan negara di rantau lain juga.
“Sebagai contoh, Kesatuan Eropah (EU), Korea Selatan dan New Zealand cuma dikenakan 15 peratus sahaja tarif oleh AS,” katanya kepada UtusanTV hari ini.
Baca artikel lain: AS kurangkan tarif ke atas import Malaysia kepada 19 peratus
Terdahulu, Malaysia berserta empat lagi negara anggota ASEAN dikenakan tarif sebanyak 19 peratus oleh AS berkuat kuasa hari ini.
Menerusi perintah eksekutif yang dikeluarkan oleh Rumah Putih, semalam, tarif sama turut dikenakan ke atas Kemboja, Filipina, Thailand serta Indonesia.
Pada 7 Julai lalu, Washington mengumumkan untuk mengenakan tarif pada kadar 25 peratus ke atas semua produk Malaysia ke AS yang berasingan daripada tarif mengikut sektor berkuat kuasa pada 1 Ogos.
Kadar itu satu mata peratusan lebih tinggi daripada pengumuman yang dibuat pada April lepas.
Dalam pada itu, Vietnam dikenakan kadar tarif lebih tinggi pada 20 peratus dan diikuti Brunei pada 25 peratus.
Singapura yang juga rakan dagang utama AS, terus menikmati kadar tarif paling rendah dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN pada 10 peratus yang tidak berubah sejak awal pelaksanaannya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

