Kenali Ummu Imarah, pejuang dan pahlawan wanita zaman Nabi s.a.w.

Dari Penulis

Nusaibah binti Ka’ab bin Amr bin Auf bin Mabzul al-Ansariyah al-Khazriyah an-Najjariyyah al-Maziniyyah atau lebih dikenali dengan gelaran Ummu Imarah adalah salah seorang sahabat wanita yang terkenal dan merupakan seorang pahlawan wanita Islam.

Beliau mempertaruhkan jiwa dan raganya demi agama Islam. Beliau juga seorang yang tinggi ilmunya, serta mahir memahami kandungan al-Quran dan al-Hadis. Seorang yang sangat warak dan rajin beribadah, serta kukuh pendiriannya. Ummu Imarah atau Nusaibah r.ha berasal daripada keluarga yang sangat mulia dan sentiasa berkhidmat untuk perjuangan mendaulatkan agama Islam.

Saudara kandungnya yang bernama Abdullah bin Ka’ab al-Maziniy r.a. termasuk di antara sahabat yang turut serta dalam peperangan Badar. Suaminya bernama Zaid bin Ashim r.a. juga termasuk dalam golongan awal yang memeluk Islam. Manakala kedua-dua puteranya iaitu Habib r.a. dan Abdullah r.a. adalah sahabat Rasulullah dan merupakan tentera pasukan berkuda yang telah menghiasi sejarah dengan segala amalan yang mulia.

Setelah suaminya meninggal dunia, Ummu Imarah menikah lagi dengan Ghaziyyah bin Amrin bin Athiyyah an-Najjari r.a. Daripada suami yang kedua ini, dia dikurniakan dua orang anak yang bernama Tamim r.a. dan Khaulah r.a.

Mujahidah sejati

Tiada satu pun sejarah yang lebih mengharukan hati daripada sejarah dan kedudukan Ummu Imarah. Wanita waja ini melalui banyak peperangan dalam hidupnya untuk menegakkan agama Islam. Imam al-Zahabi pernah berkata,

“Ummu Imarah adalah seorang mujahidah, turut serta menyaksikan Bai’at al-Aqabah, perang Uhud, perang Hudaibiyah, perang Hunain dan perang Yamamah. Peristiwa pertama yang dapat dilihat sikap cintanya pada Islam adalah dalam Bai’at Aqabah yang juga turut diikut oleh seorang perempuan lain bernama Asma bin Amrin atau dikenali Ummu Mani’”.

Sewaktu perang Uhud, Ummu Imarah bertugas memberikan minuman kepada pasukan tentera Muslim yang kehausan, serta merawat mereka yang mengalami kecederaan. Di saat tentera Islam mula terdesak dalam peperangan tersebut dan hampir-hampir kalah, sebahagiannya lari daripada peperangan kecuali beberapa orang yang masih bertahan.

Ummu Imarah telah bangkit menghunuskan pedang melawan musuh Islam dan menggunakan perisai untuk melindungi Rasulullah s.a.w. Ummu Imarah sentiasa berusaha untuk melindungi Rasulullah s.a.w. daripada segala bahaya dan ancaman musuh. Hal ini dapat digambarkan melalui sabda Rasulullah s.a.w.,

“Aku tidak menoleh ke kiri dan ke kanan kecuali aku melihat Ummu Imarah berperang di hadapanku”

Ketika anaknya yang bernama Abdullah yang turut serta dalam perang tersebut mengalami luka parah, Ummu Imarah membalut luka anaknya dan menyeru anaknya,

“Bangun wahai anakku”

Anaknya terus bangkit dan melawan tentera kaum Musyrikin. Melihat akan hal tersebut, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Wahai Ummu Imarah, siapakah yang mampu lakukan seperti apa yang telah engkau lakukan?”

Ketika tentera Musyrik yang melukai anaknya semakin dekat, Rasulullah berkata kepada Ummu Imarah,

“Ini dia orang yang telah melukai anakmu”

Lantas Ummu Imarah mendapatkannya dan berjaya melukai betis orang tersebut dengan pedangnya. Rasulullah tersenyum sambil berkata,

“Ya Ummu Imarah, engkau telah berjaya membalasnya”

Kemudian Ummu Imarah bersama yang lain berjaya membunuh orang Musyrik tersebut. Rasulullah kemudiannya bersabda lagi,

“Segala puji bagi Allah yang telah memenangkanmu dan menggembirakan hatimu daripada musuhmu serta memperlihatkan balas dendammu di hadapanmu”

Ummu Imarah sendiri telah mengalami luka yang sangat banyak ketika perang Uhud. Luka yang paling dalam terdapat dibahunya. Rasulullah sendiri telah memeriksa luka tersebut dan meminta anaknya yang bernama Abdullah supaya membalut luka-luka tersebut sambil bersabda,

“Semoga Allah sentiasa memberkati dan merahmati kamu sekalian”

Ketika Ummu Imarah mendengar akan sabda Nabi itu, dia pun berkata,

“Ya Rasulullah! mohonlah kepada Allah agar kami boleh menemanimu di syurga nanti”

Lantas Rasulullah pun berdoa,

“Ya Allah! Jadikanlah mereka semua yang akan menemaniku dalam syurga kelak”

Lantas Ummu Imarah berkata,

“Aku tidak pernah mengeluh setiap musibah yang menimpa diriku di dunia”.

Sering menyertai peperangan

Ummu Imarah juga turut menyertai perang Bani Khuraizah. Ketika perang al-Hudaibiyyah, Ummu Imarah telah mengasah pisau kerana bimbang kaum Musyrikin mengingkari perjanjian. Dia turut serta dibai’atkan oleh Rasulullah dalam Bai’at ar-Ridhwan (janji setia untuk sanggup mati syahid di jalan Allah) dan termasuk dalam golongan sahabat yang mendapat keredaan Allah.

Sesudah itu, Ummu Imarah turut serta dalam perang Khaibar, Umrah al-Qada (pengganti) dan perang Hunain. Dalam perang Hunain, dia memiliki kedudukan yang tidak kurang pentingnya sama seperti dalam peperangan Uhud.

Dia termasuk salah seorang daripada seratus orang sahabat yang sabar dan tabah ketika yang lain mula was-was dengan kekuatan Muslimin. Dan dia juga berjaya membunuh salah seorang tentera berkuda Musyrikin.

Perang terakhir yang disertainya adalah peperangan Yamamah untuk memerangi golongan murtad yang diketuai oleh Musailamah al-Kazzab, yang berlaku pada zaman Khalifah Abu Bakar as-Siddiq r.a.

Semangatnya sangat berkobar-kobar dalam peperangan tersebut kerana ingin membela kematian anaknya Hubaib dan sangat berharap agar dia dapat membunuh Musailamah dengan tangannya sendiri.

Namun takdir telah menentukan tangannya terputus dan yang membunuh Musailamah bukan Ummu Imarah tetapi anaknya Abdullah yang menuntut bela di atas kematian saudaranya Hubaib. Ummu Imarah berkata,

“Tangan aku terpotong pada hari peperangan Yamamah, padahal aku sangat berhajat untuk membunuh Musailamah dengan tanganku sendiri. Tidak ada yang dapat melarangku sehingga aku dapat melihat anakku Abdullah bin Zaid mengusap pedangnya dengan pakaiannya lalu aku bertanya kepadanya,

“Engkaukah yang membunuhnya?” Abdullah menjawab,

“Ya”. Kemudian aku bersujud syukur kepada Allah.

Allah reda dengan kematiannya

Sejarah hidup Ummu Imarah sangat mengharukan. Dia adalah seorang ibu yang sangat penyayang terhadap anak-anaknya. Seorang isteri yang taat dan penuh kasih sayang kepada suaminya.

Seorang mujahidah mulia, ahli Hadis dan seorang yang selalu meningkat tahap keimanannya. Ummu Imarah telah meninggalkan sejarah hidup yang patut untuk dicontohi oleh setiap wanita yang ingin mencapai kemuliaan hidup. Semoga Allah memberikan rahmat yang seluas-luasnya dan menyambutnya dengan keredaan Nya yang agung. Wallahu a’lam

_____________________________________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Syarahan Perdana Tokoh Maal Hijrah 1448H Beri Fokus Kepada Mesej Keamanan & Peradaban Kontemporari

PERISTIWA Maal Hijrah tidak seharusnya dibiarkan berlalu sekadar penceritaan lipatan sejarah dan sambutan tahunan semata-mata, sebaliknya ia perlu diangkat...

More Articles Like This