PELAKSANAAN cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dapat memberikan impak fiskal yang lebih pantas berbanding langkah memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan, langkah memperkenalkan semula GST itu memerlukan tempoh masa persediaan yang lebih panjang iaitu sehingga dua tahun.
Menurut MoF, ia bagi memberi ruang kepada syarikat untuk bersedia mengemas kini sistem bagi menghadapi GST.
Sehubungan itu, MoF memberitahu, kerajaan belum berhasrat untuk melaksanakan GST kerana pendapatan rakyat secara am masih rendah untuk dikenakan cukai tersebut yang bersifat meluas.
“Melalui langkah semakan semula kadar cukai jualan dan peluasan skop cukai perkhidmatan yang telah berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025, kerajaan menganggarkan untuk menjana kutipan hasil tambahan sebanyak RM5 bilion untuk tahun 2025 dan RM10 bilion bagi setahun penuh 2026.
“Peningkatan kutipan hasil ini adalah perlu bagi menampung keperluan perbelanjaan kerajaan untuk memastikan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dapat terus ditambah baik,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
MoF menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) yang bertanyakan sama ada kerajaan mempertimbang untuk mengembalikan pelaksanaan GST.
Pada masa sama, beliau turut bertanya apakah justifikasi kerajaan mengekalkan SST walaupun kutipan hasil GST dilaporkan lebih tinggi sebelum ini.
Baca artikel lain: SST: KPDN tak kompromi peniaga naikkan harga tak munasabah
Mengulas lanjut, MoF memberitahu, SST juga dilihat lebih progresif berbanding pelaksanaan semula GST kerana struktur dan pelaksanaan peluasan SST itu yang dibuat secara bersasar.
Katanya, barang dan perkhidmatan yang lazimnya digunakan rakyat secara amnya tidak dikenakan cukai.
Sebagai contoh, MoF memberitahu, makanan asas seperti beras, daging, telur dan sayur-sayuran tetap dikecualikan daripada cukai jualan.
MoF menjelaskan, ubat-ubatan dan peralatan kesihatan tertentu serta barang asas yang digunakan untuk sektor pertanian, penternakan dan pembinaan juga dikecualikan daripada cukai berkenaan.
“Bagi cukai perkhidmatan pula, skop peluasan cukai berfokus kepada perkhidmatan yang lazimnya digunakan secara komersial.
“Begitu juga dengan perkhidmatan kewangan berasaskan fi yang mana perkhidmatan perbankan asas melibatkan akaun simpanan dan akaun semasa yang lazimnya digunakan rakyat dikeluarkan daripada skop cukai.
“Secara rumusannya, kerajaan telah mempertimbang pelbagai aspek termasuk struktur keseluruhan sistem percukaian negara sedia ada, ruang penambahbaikan yang boleh dilakukan, kedudukan ekonomi semasa, keperluan hasil kerajaan serta taraf hidup rakyat secara keseluruhan sebelum memutuskan kaedah yang paling sesuai untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara pada masa ini,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

