PROGRAM tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertemakan “Purr-fect Care Si Comot by Powercat” telah berlangsung meriah di Cat Tiram Shelter, Johor Bahru, baru-baru ini.
Inisiatif ini bertujuan memberi sokongan kepada lebih 300 ekor kucing yang berada di bawah jagaan pemiliknya, Tuan Haji Nor Azhar Abdul Hamid.

Kehadiran pelajar dan pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai turut menyerikan acara, di mana mereka membantu memasang permainan kucing serta menguruskan logistik, termasuk menyusun dan mengagihkan stok makanan kucing yang disumbangkan.

Turut sama, Pengurus Besar Cawangan Johor Adabi, Zainuddin Salleh bersama 10 kakitangan yang berganding bahu menjayakan program ini.

“Pihak Adabi berbesar hati dapat melibatkan diri bersama team Powercat untuk menjayakan program CSR ini.

“Kami turut menyediakan sarapan pagi menggunakan produk-produk Adabi seperti Kari Sardin Adabi Sandwich, bagi memberikan tenaga dan makanan kepada semua yang terlibat dalam aktiviti hari ini,” katanya.

Pasukan Adabi turut turun padang memasak dan menyajikan hidangan sebagai tanda penghargaan kepada para sukarelawan, peserta, dan tetamu.
Kehadiran wakil Powercat, Lina bersama kakitangan lain yang komited dari awal hingga akhir, mengukuhkan lagi semangat kerjasama sepanjang program.

Acara ini turut dimeriahkan oleh pempengaruh media sosial, Faizdickie yang merakamkan detik istimewa untuk episod khas YouTube Si Comot Powercat.

“Terima kasih Powercat kerana menjemput saya untuk turut serta dalam CSR ini.
“Saya memang suka kucing dan sebelum ini saya juga aktif dalam CSR membantu kucing jalanan.
“Acara sebegini diharap dapat memberi contoh kepada mana-mana pihak untuk turut menyumbang kepada shelter-shelter kucing yang memerlukan,” ujarnya.

Menambah kemeriahan, dua influencer kucing terkenal di media sosial, Micheal_Tam_Ticha dan Sorayya the Diva Cat, mencuri perhatian para pengunjung dengan gelagat comel, sekali gus membantu menyampaikan mesej utama program kepada komuniti pencinta kucing.
Dalam pada itu, pemilik Cat Tiram Shelter, Nor Azhar menyatakan rasa terharu atas sumbangan yang diterima.

“Saya sangat berbesar hati Powercat memilih shelter kami dalam program CSR kali ini.
“Tiada apa yang dapat saya gambarkan, cuma kegembiraan dan rasa syukur atas sumbangan ini.
“Makanan kucing ini dapat membantu meringankan beban kami di shelter. Kami sangat berterima kasih kepada Powercat,” luahnya.

Program “Purr-fect Care Si Comot by Powercat” bukan sahaja mencerminkan komitmen Powercat dan Adabi terhadap kebajikan haiwan, tetapi juga memperkukuh nilai kemanusiaan dan semangat komuniti melalui aktiviti CSR yang penuh bermakna.


