PENIAGA kecil akan terus dibenarkan menggunakan tong Gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Armizan berkata, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 menetapkan bahwa entiti perdagangan dan perniagaan yang menggunakan LPG melebihi 42 kilogram (kg) perlu memohon permit barang kawalan berjadual.
Manakala, jelas beliau, syarat-syarat permit barang kawalan berjadual yang dikeluarkan beserta Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 tersebut menetapkan pemegang permit barang kawalan tidak boleh menggunakan barang kawalan bersubsidi.
Namun begitu, katanya, kerajaan akan terus membenarkan penggunaan LPG bersubsidi kepada peniaga makanan dan minuman mikro dan kecil melebihi had tersebut.
“Sehubungan itu, isu berkaitan bebanan kepada peniaga kecil dan penjaja makanan dan minuman tidak berbangkit kerana mereka tetap mendapat manfaat subsidi LPG,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi pemberitahuan pertanyaan lisan Dewan Rakyat Mesyuarat Kedua hari ini.
Armizan berkata, LPG merupakan barang kawalan yang diwartakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] di bawah kawal selia Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan telah diberikan subsidi oleh kerajaan.
Katanya, penguatkuasaan dan pemeriksaan ke atas industri yang berurus niaga dan menggunakan LPG ini telah dilaksanakan oleh KPDN semenjak ia disenaraikan sebagai Barang Kawalan berkuat kuasa pada 21 Oktober 1974.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

