MAHKAMAH Sesyen Petaling Jaya menetapkan 19 September depan sebagai tarikh pengurusan kes membabitkan penyanyi, Naim Daniel yang berdepan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam bela yang mewakili Naim, Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique, ketika ditemui media di luar perkarangan mahkamah kira-kira jam 9.25 pagi tadi.
“Hari ini adalah sebutan bagi serahan dokumen. Pihak pembelaan telah menerima dokumen daripada pihak pendakwaan.
“Tarikh seterusnya iaitu 19 September ditetapkan untuk sebutan pengurusan kes bagi melihat sekiranya terdapat sebarang dokumen tambahan daripada pihak pendakwaan,” katanya.
Sementara itu, Naim atau Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, yang turut hadir di mahkamah, menyatakan rasa syukur kerana prosiding sebutan semula berlangsung dengan lancar.
“Saya hadir untuk serahan dokumen sahaja dahulu. Alhamdulillah, semuanya lancar dan terima kasih kepada semua yang hadir,” katanya ringkas kepada media.
Untuk info, 17 Jun lalu, Naim didakwa di Mahkamah Sesyen yang sama atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan yang ketika itu berumur 17 tahun 7 bulan.
Mengikut kertas pertuduhan, kejadian didakwa berlaku pada 19 Mei lalu, sekitar jam 8.56 malam di Hotel Ukiyo yang terletak di Petaling Jaya, Selangor.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Naim sebelum ini telah mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan di hadapan Hakim Datin M Kunasundary, dan dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu prosiding lanjut.

