PEMPENGARUH yang terkenal dengan jolokan CEO Batu didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, Mei lalu.
CEO Batu atau nama sebenarnya Muhamad Iqbal Muhammad Nor, 22, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamarudin.
“Saya faham pertuduhan. Saya mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan,” katanya ketika berdiri di dalam kandang tertuduh.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan amang seksual bukan fizikal dengan menunjukkan kemaluannya terhadap mangsa yang berusia 13 tahun 10 bulan ketika kejadian di sebuah kediaman di Batu Caves, dekat Gombak sekitar jam 1.16 pagi pada 16 Mei lalu.
Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 ke atas tertuduh selain mencadangkan agar CEO Batu melaporkan diri di balai polis setiap bulan serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sebagai syarat tambahan jaminan.
Bagaimanapun Peguam Mohd Anif Rafih yang mewakili tertuduh merayu agar nilai jaminan dikurangkan kepada RM6,000 memandangkan dia bekerja sebagai seorang pempengaruh dengan pendapatan sekitar RM3,000 sebulan.
“Tertuduh bekerja sebagai seorang pempengaruh namun akaun media sosialnya kini sudah disekat. Beliau berasal dari Jitra, Kedah tetapi kini tinggal bersama dan menjaga datuknya di sekitar Gombak, Selangor.
“Pihak pembelaan juga bersetuju sekiranya syarat tambahan melaporkan diri ke balai polis setiap bulan dikenakan ke atas anak guam kami.
“Namun untuk pasport saya percaya anak guam sentiasa melancong atas urusan kerja dan dia merupakan seorang yang tiada risiko melarikan diri,” katanya.
Mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim Norshila kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berdekatan kediaman sebulan sekali, dan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 14 Ogos depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

