SEORANG lelaki tempatan berusia 25 tahun mengaku bersalah atas 15 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal serta persetubuhan luar tabii terhadap lima kanak-kanak lelaki.
Tertuduh, Retna Velu yang merupakan penjaga di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Batu Caves, Gombak membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Norshila Kamarudin dan Hakim Ho Kwong Chin.
Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal selain persetubuhan luar tabii terhadap lima kanak-kanak lelaki berusia antara lapan hingga 13 tahun.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Batu Caves antara hujung November 2025 dan 27 Mac tahun ini.
Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(a), 14(b),15 (a)(i), 15(a)ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Seksyen 14(a), 14(b) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, manakala Seksyen ),15 (a)(i), 15(a)(ii) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.
Bagi Seksyen 377C memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin sehingga tarikh fakta kes dan jatuh hukum pada 21 Mei ini.
Sementara itu, pada prosiding sama, pengasas rumah kebajikan terbabit, S Valan, 31, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal.
Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norshila, manakala satu pertuduhan di hadapan Hakim Kwong Chin dalam bahasa Tamil.
Mengikut pertuduhan, Valan didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap empat kanak-kanak lelaki berusia antara 13 hingga 16 tahun (ketika kejadian) di tempat sama antara 18 Mac 2019 dan Ogos 2025 mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) yang memperuntukkan hukuman sama.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 10 Jun bagi sebutan semula kes.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairul Iqram Hairuddin dan Nadiah Malek Fauzie,
Retna Velu tidak diwakili peguam, manakala Valan diwakili peguam, Amalia Daud dan R Roshini.
Pada prosiding sama, K Subramaniam dan S Premila turut hadir selaku peguam pemerhati mewakili Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor (PKTTS) selaku pengadu serta keluarga mangsa.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

