SEORANG lelaki yang mengurung dan mengikat remaja lelaki berusia 14 tahun menukar pengakuan kepada tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal bulan lalu.
Tertuduh, Mohamad Fadwan Abd Muaain, 42, menukar pengakuan kepada tidak bersalah itu di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.
Dia yang bekerja sebagai pemungut hutang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan semula di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja itu di sebuah unit pangsapuri di Seksyen 32, Shah Alam antara pukul 8.05 hingga 11.50 pagi pada 11 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, KS Rinisha Priyya sementara Mohamad Fadwan yang memakai baju lokap berwarna jingga tidak diwakili peguam.
Rasyihah kemudian menetapkan sebutan semula kes dan lantikan peguam pada 8 Julai depan.
Pada 22 Mei lalu, Mohamad Fadwan mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan dan mahkamah menetapkan Isnin untuk fakta kes serta jatuh hukum.
Lelaki itu turut mengaku bersalah atas kesalahan memasukkan dadah berbahaya jenis morphine dalam badan sendiri, di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Shah Alam, jam 12.30 tengah hari 15 Mei lalu.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan sebutan semula kes tersebut pada 5 Ogos untuk laporan kimia dan fakta kes.
Pada 22 Mei lalu, tertuduh yang mengaku duda dan mempunyai seorang anak dihukum penjara selama 15 bulan oleh Mahkamah Majistret Shah Alam kerana mengurung dan mencederakan mangsa sama.
Dia juga dihukum penjara selama enam tahun, tiga sebatan kerana merompak seorang wanita warga Indonesia, mencuri motosikal dan menyamar sebagai anggota polis.
Sebelum ini, pihak polis mengesahkan, tertuduh merupakan bekas banduan dengan hukuman penjara selama 17 tahun kerana merogol, merompak dan mengurung seorang wanita pada 2007 lalu.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

