PERIKATAN Nasional (PN) menggesa kerajaan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Buli yang mengenakan hukuman berat terhadap pembuli.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, hukuman berat juga perlu dikenakan terhadap mana-mana pihak yang cuai dalam melindungi keselamatan pelajar di sekolah atau di institusi pengajian tinggi di negara ini.
Dengan adanya Akta Anti-Buli, Muhyiddin menegaskan, kerangka undang-undang dan dasar yang jelas boleh dilaksanakan pihak berkuasa.
Katanya, ia penting bagi melindungi pelajar daripada tindakan penganiayaan sama ada berbentuk fizikal atau emosi yang menjejaskan keselamatan diri dan nyawa.
“Kita mesti bersama-sama memerangi budaya buli yang saya percaya masih berleluasa pada masa ini.
“Ia umpama gajah di dalam bilik terutama di sekolah-sekolah berasrama. Jangan kita biarkan amalan buruk dan jahat yang menjejaskan keselamatan serta nyawa anak-anak ini berterusan.
“Saya mendoakan agar kedua ibu bapa dan ahli keluarga Allahyarham adik Zara Qairina (Mahathir) tabah menghadapi dugaan getir kehilangan insan tersayang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengambil maklum keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mempercepatkan inkues berhubung kematian Zara Qairina.
Menurut Muhyiddin, inkues itu hendaklah dijalankan secara telus, menyeluruh dan berpaksikan undang-undang demi mencari kebenaran serta keadilan.
“Insiden buli yang menyebabkan kecederaan dan kematian pelajar tidak boleh dipandang ringan. Malah, ia tidak harus dibiarkan menjadi budaya terutama di sekolah dan institusi pengajian tinggi di negara kita.
“Tindakan undang-undang yang tegas hendaklah diambil untuk memastikan kejadian menyayat hati ini tidak berulang,” katanya.
Baca artikel lain: Jangan jadikan kes kematian Zara Qairina senjata politik – Anwar
Terdahulu, prosiding inkues mengenai kematian Zara Qairina akan bermula pada 3 September depan telah diputuskan Mahkamah Koroner Kota Kinabalu dalam sebutan kes tersebut, hari ini.
Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz yang bertindak sebagai Koroner menetapkan tarikh prosiding pada 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September.
Semalam, AGC dalam kenyataan memaklumkan Mahkamah Koroner Kota Kinabalu telah menetapkan tarikh sebutan inkues kematian Zara Qairina, hari ini.
AGC memberitahu, Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah telah membuat permohonan kepada Mahkamah Koroner Kota Kinabalu agar suatu inkues diadakan selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).
Jabatan itu juga dilapor akan membuat permohonan supaya inkues kes kematian Zara Qairina dipercepatkan kerana ia merupakan kes yang berkepentingan awam.
Pada masa sama, ia demi memastikan keadilan dapat ditegakkan, bukan sahaja kepada keluarga Allahyarham Zara Qairina tetapi juga demi kepentingan masyarakat umum.
Jabatan itu merujuk kepada kenyataan media AGC bertarikh 13 Ogos mengenai keputusan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian Zara Qairina termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya.
AGC memutuskan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha itu selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia berhubung kes tersebut pada 12 Ogos.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai, selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah berkenaan pada pagi 16 Julai.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

