Bayangkan anda berdiri di tebing sebuah sungai yang jernih, airnya deras turun dari banjaran hijau. Di hadapan, aliran itu terpecah dua. Satu alirannya jatuh deras menuju ke tasik, manakala satu lagi hilang begitu sahaja ke dalam sebuah lubang raksasa, seolah-olah ditelan bumi. Ke mana perginya air itu?
Itulah persoalan yang menghantui para penyelidik selama puluhan tahun tentang Devil’s Kettle, air terjun misteri yang terletak di Judge C. R. Magney State Park di Minnesota, Amerika Syarikat.

Sungai Brule yang mengalir melalui taman ini turun lebih 800 kaki, membentuk deretan air terjun menakjubkan. Namun, kira-kira 2.4 kilometer sebelum bertemu dengan Tasik Superior, aliran sungai ini terbelah dua yang dipisahkan oleh bongkah batu besar.
Bahagian timur jatuh setinggi 50 kaki dan mengalir seperti biasa ke dalam Tasik Superior. Bahagian barat pula lenyap ke dalam sebuah lubang sedalam 10 kaki yang digelar Devil’s Kettle (Cerek Syaitan).
Ia digelar Devil’s Kettle kerana lubangnya seakan periuk besar yang ‘memasak’ atau menelan apa sahaja yang jatuh ke dalamnya. Air yang masuk ke dalam lubang itu seakan ghaib. Ia tidak pernah muncul semula di permukaan. Ia tidak membuak keluar di mana-mana. Ia seolah-olah terus ditelan bumi, antara fenomena geologi yang membingungkan pengkaji.
Eksperimen Gagal Menjawab Misteri
Pelbagai cara telah dicuba. Penyelidik menjatuhkan pewarna terang, bola ping pong, malah pelbagai objek lain ke dalam lubang itu dengan harapan ia akan timbul di Tasik Superior. Namun, hasilnya tetap sama. Kesemua objek itu hilang tanpa jejak.
Jika air sungai yang deras pun boleh ghaib begitu saja, bagaimana dengan objek-objek kecil itu? Misteri ini menjadikan Devil’s Kettle antara fenomena alam yang sukar dijelaskan.

Ada yang percaya air itu mengalir melalui rekahan bawah tanah dan keluar ke Tasik Superior. Namun, pakar geologi menolak kemungkinan itu. Tiada gelembung, tiada pusaran, tiada tanda aliran bawah tanah yang membuktikan air itu keluar semula ke dasar tasik tersebut.
Teori lain pula mengatakan lubang itu terbentuk daripada terowong lava yang wujud sejak jutaan tahun dahulu. Tetapi batuan di Devil’s Kettle ialah riolit, bukan basalt. Terowong lava hanya terbentuk dalam basalt di kawasan gunung berapi, dan yang paling dekat pun berada jauh di bawah tanah.
Gua bawah tanah? Itu pun tidak mungkin. Gua lazimnya terbentuk dalam batu kapur dan kawasan Devil’s Kettle langsung tiada batu kapur.
Lebih aneh lagi, penduduk sekitar tidak pernah melihat ada serpihan kayu, ranting atau sebarang objek terapung tiba-tiba muncul di permukaan Tasik Superior. Seolah-olah apa sahaja yang masuk ke dalam lubang itu tidak akan kembali lagi.

Misteri fenomena ini hampir terjawab pada 2017 apabila saintis menggunakan alat pengukur aliran air dan mendapati jumlah air yang masuk ke dalam Devil’s Kettle sama banyak dengan yang keluar di bahagian hilir sungai.
Bermakna, air itu tidak ghaib. Ia keluar semula ke sungai berhampiran, bukannya hilang ke dalam gua atau tasik. Namun, apa yang menjadi misteri ialah lubang tersebut kerana lorong airnya masih tidak kelihatan dengan mata kasar.
Devil’s Kettle terus menjadi teka-teki alam. Ia bukan sekadar air terjun, tetapi mengandungi rahsia geologi yang mencabar sains, menolak logik akal dan mengundang rasa ingin tahu sesiapa saja yang berdiri di tebingnya.
___
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

