“Pusing belakang. Ni cikgu buat jurus api syurga meragut lalang!”

Dari Penulis

Masih ingat lagi wira zaman anda kecil dulu? Wira ni lain sikit. Ia akan keluar setiap dua minggu sekali. Kena ikat perut simpan duit sebab nak baca fasal wira ni. Wira Ambo masa itu ialah ‘Pendekar Laut’. Siapa ingat lagi komik ni?

Pada zaman itu, di pasaran penuh lambakan komik dari Hong Kong. Ada Pedang Setiawan, Alam Pewira, Wira Tunggal, Dewata Raya, Raja Rimba dan macam-macam lagi.

Komik ini berbeza dengan komik dari Jepun. Komik Hong Kong lukisannya lebih real dan cantik. Kalau gambar heronya mesti gagah dan kuat. Wataknya juga lebih serius. Kalau kita baca pun mesti kita bayangkan kita menjadi hero itu. Dah la hensem, ada kuasa pula tu.

Komik ni tak tebal sangat. Rasanya dalam 20 halaman kot. Baca sepuluh minit dah boleh habis. Harga dia dalam RM2.50 hingga RM 3.00. Paling nak marah, bila dia bersambung masa adegan yang sangat mendebarkan. Itu memang sampai hempas komik. Tengah sedap-sedap baca boleh pula tergantung cerita. Lepas tu tak sabar menunggu dua minggu lagi. Siapa macam ni? Kita geng.

Dulu setiap hujung minggu mesti pergi ke kedai jual majalah. Tengok komik dah keluar ke belum. Masa tu siapa boleh jalan sambil terselit segulung komik kira hebatlah.  

Tapi lain pula dengan Ambo. Kalau hendak beli komik ni, Ambo kena balut dengan surat khabar. Sebabnya mak Ambo marah beli komik ni. Katanya, tak ada faedah. Tapi minat punya fasal, beli juga.

Bila dah beli bungkus dengan surat khabar, masa balik rumah kepit bawah ketiak seolah-olah macam surat khabar. Cara lain, sampai di rumah sorok dulu komik di belakang almari. Bila line clear baru pergi ambil balik.

Pernah sekali seingat Ambo masa tu selepas raya. Waktu tu duit ada banyak. Maklumlah, hasil collection duit raya. Pergi kedai tengok komik baru dah keluar. Apa lagi, Ambo beli tiga tajuk sekali. Saja nak baca. Biasanya Ambo hanya beli ‘Raja Rimba’ dengan ‘Pendekar Laut’ jer. Yang lain, Ambo akan pinjam kawan punya.

Sampai rumah, balut dengan surat khabar dan macam biasa kepit celah ketiak. Sebaik masuk dalam rumah, mak Ambo panggil. Cepat-cepat Ambo sorokkan di belakang pintu. Mak Ambo minta suruh pergi beli barang. Lepas dah siap semua lupa nak ambil komik tu. Esoknya, baru teringat. Cari-cari dah tak ada. Merata tempat Ambo cari. Masa tu mak Ambo tegur.

“Cari apa kau ni macam kucing hilang anak jer?” soal mak Ambo.

“Tak ada apa-apa. Saja jer,” balas Ambo.

Memang tak berani mengakulah. Misteri kehilangan komik tu tak dapat dirungkai sampai sekarang. Tak tahu ke mana pergi. Daripada cari penyakit mengaku cari komik, baik Ambo beli yang lain. He he he…

Satu lagi, kalau di sekolah, komik ini juga salah satu barang terlarang. Kalau cikgu dapat tangkap, mesti akan dirampas. Pernah sekali Ambo diminta oleh cikgu untuk membersihkan bilik disiplin. Masa masuk tu, Ambo tengok bertimbun buku komik yang dirampas. Hampir dua rak penuh. Bayangkan berapa ramai peminat komik ini waktu itu.

Komik ini menjadi kegilaan disebabkan wataknya yang nampak hebat. Macam-macam jurus yang boleh buat. Siapa masih ingat nama-nama jurus maut yang hebat?

Kalau Ambo, jurus paling Ambo minat ialah ‘hikmat cakar belang tuju maut’. Pergh! Hikmat ni kalau kena mesti boleh mati. Hahaha…

Selain tu ada tetakan pemusnah zuriat, jurus hikmat putaran alam, jurus selingkuh lipan berlapan sorok, hikmat tendangan penghancur tulang, hikmat tetakan pedang dewa dan macam-macam lagi. Jurus-jurus ini memang jadi kegilaan zaman ketika dulu.

Ada sekali tu, waktu di sekolah, masa tu pertukaran masa. Jadi, cikgu masuk lambat ke kelas. Cikgu tak ada, apa lagi… kami pun bertukarlah jadi Pendekar Laut.

Tengah asyik berlawan, tiba-tiba seorang kawan Ambo naik atas kerusi. Dia pun buat satu jurus. Tendangan garuda penghancur bumi. Elok sahaja dia lompat, cikgu pun sampai.

“Awak, mari sini,” kata cikgu. Kami semua diam.

“Awak buat jurus apa tadi?” soal cikgu.

“Erk… tak ada apa-apa cikgu,” balas kawan Ambo.

“Pusing belakang. Ni cikgu buat jurus api syurga meragut lalang,” kata cikgu sambil satu tepukan kuat hinggap di belakang kawan Ambo.

Rupa-rupanya cikgu pun baca Dewata Raya. Cikgu siap kenal nama watak Sami Guni, Pelawak Tulang, Encik Otot, Pedang Fajar, Dewa Durjana dan macam-macam lagi.

Selain itu juga ayat-ayat yang mereka gunakan juga memang terangkat. Kalau budak-budak sekarang menjadikan ayat-ayat dalam filem sebagai ikutan mereka, tapi zaman kami dulu ayat dalam komik menjadi ikutan.

Ayat-ayat yang sering digunakan oleh wira-wira sewaktu bertempur ialah seperti – ‘kau baru setahun jagung, kau ingat aku budak-budak baru belajar makan pisang’  dan macam-macam ayat lagi.

Ayat paling rare yang Ambo ingat sebelum wira membunuh musuhnya. Ayat terakhir dia akan sebut, ‘sampaikan salam aku pada alam barzakh’. Fuh! Memang padu ayat tu.

Tapi sekarang ni, wira-wira tu dah lama berkubur. Waktu itu zaman kegemilangan industri komik. Berlambak komik di pasaran. Tak kira komik dari Malaysia, Jepun mahupun Hong Kong memang mendapat sambutan. Kini, semuanya tiada lagi.

Itu adalah sebahagian hiburan kanak-kanak zaman 90-an. Walaupun kami liat kalau diminta membaca, tapi komik tetap menjadi kegilaan. Sanggup ikat perut demi nak kumpul duit semata-mata mahu membeli komik.

Zaman berlalu dengan pantas. Industri komik cetakan mulai suram. Satu persatu sudah ditalkinkan. Industri cetak diganti dengan dunia maya. Selamat tinggal wira-wira ku. Walaupun kini kau sudah pergi, namun semangat juang mu masih segar dalam ingatan kami. Kih kih kih… – Ambo, Kota Bharu, Kelantan.

___

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Bila nasihat tidak dihiraukan… Ayah sanggup tanam patung di kubur demi anak

“Aku cuma nak anak aku balik…” Itu luahan seorang ayah yang akhirnya menyesal seumur hidup selepas memilih jalan salah demi...

More Articles Like This