PIHAK MyKasih telah mengambil langkah untuk meningkatkan kapasiti pemprosesan terminal Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak 60 peratus bagi memastikan transaksi hari ini dapat berjalan dengan lebih lancar.
Yayasan MyKasih menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, keputusan itu diambil susulan lonjakan jumlah transaksi pada hari pertama pelaksanaan Penghargaan SARA, semalam.
“Pasukan teknikal kami terus memantau prestasi sistem secara aktif dan sedang mengambil tindakan segera untuk menambah baik keupayaan sistem secara berterusan.
“Sehingga jam 5.00 petang hari ini, hampir 600,000 transaksi telah berjaya disempurnakan — iaitu peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding jumlah transaksi pada waktu yang sama semalam.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan transaksi Penghargaan SARA dan SARA dalam tempoh dua hari ini mencecah 1.45 juta transaksi, melibatkan perbelanjaan rakyat sebanyak RM91 juta di seluruh negara,” katanya hari ini.
Baca artikel lain: Polis Metro Jaya tahan 1,240 penunjuk perasaan di Jakarta
Katanya lagi, walau bagaimanapun, penurunan kadar pemprosesan transaksi masih dilaporkan di beberapa lokasi khususnya di Selangor, Perak, Sabah dan Melaka.
Ujarnya, beberapa pasar raya besar di kawasan bandar yang mencatat bilangan penerima SARA yang tinggi mengalami kesesakan, terutamanya semasa waktu puncak antara pukul 1.00 hingga 2.30 petang.
“Keadaan ini mungkin berpunca daripada jumlah pembeli yang tinggi sempena cuti hujung minggu yang panjang.
“Selain 22 juta penerima Penghargaan SARA yang menerima kredit one-off RM100 semalam, sebanyak 5.4 juta penerima turut menerima kredit bulanan SARA pada hari ini.
“Bagi menguruskan situasi ini, staf MyKasih telah ditempatkan di pasar raya besar terpilih bagi membantu menyelesaikan isu di lapangan dan memberikan sokongan kepada para peniaga,” katanya.
Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk merancang pembelian pada waktu bukan puncak, seperti pagi pada hari bekerja, bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan pengalaman membeli-belah yang lebih lancar.
Kredit RM100 Penghargaan SARA ini sah sehingga 31 Disember 2025, dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

