Menopaus bukan penamat cinta, doktor kongsi cara kekal harmoni suami isteri

Dari Penulis

MASIH ada segelintir masyarakat yang memandang remeh soal hubungan intim dalam rumah tangga, terutama apabila usia semakin meningkat. 

Ramai menganggap seks bukan lagi keutamaan, sedangkan realitinya, ia tetap menjadi antara asas penting dalam mengekalkan keharmonian suami isteri.

Malah, pernah tular kisah suami menceraikan isteri hanya kerana tidak puas dalam hubungan intim, dengan alasan si isteri melalui fasa menopaus. 

Situasi ini jelas menunjukkan bagaimana gejala menopaus yang serius boleh menjejaskan kualiti hidup wanita dan meretakkan hubungan rumah tangga.

Menurut doktor perubatan merangkap penceramah kesihatan, Dr Afif Mohd Ridzwan, isu ini tidak wajar dipandang ringan kerana ia berlaku dalam masyarakat kita, cuma ramai pasangan tidak berani tampil mendapatkan bantuan.

“Lelaki ini nafsunya sentiasa ke depan berbanding wanita. Jangan terkejut, lelaki berusia 60-an pun masih ada keperluan seks.

“Namun, seorang suami juga harus faham keadaan biologi isterinya yang pasti memasuki fasa menopaus, biasanya antara usia 45 hingga 55 tahun,” katanya.

Dr Afif menjelaskan, penurunan hormon estrogen ketika menopaus menyebabkan faraj menjadi kering sekali gus menurunkan libido wanita. 

Situasi ini, menurut beliau, menuntut suami untuk lebih memahami dan peka terhadap keadaan isteri.

Antara langkah yang boleh diambil termasuklah penggunaan pelincir, selain mendapatkan rawatan hormon atau Terapi Penggantian Hormon (HRT).

“HRT terbukti selamat dan berkesan bagi kebanyakan wanita. Ia membantu mengurangkan gejala seperti hot flashes, berpeluh malam dan kekeringan faraj. Rawatan ini juga boleh memperbaiki kehidupan intim pasangan.

“Ia boleh diberikan dalam pelbagai bentuk seperti pil, gel, tampalan atau suntikan. Namun, pilihan rawatan bergantung kepada keadaan pesakit sama ada mempunyai rahim atau tidak,” jelasnya lagi.

Tambah beliau, manfaat HRT bukan sekadar mengurangkan simptom menopaus, malah memberi wanita peluang menjalani kehidupan yang lebih selesa dan kembali menikmati hubungan intim bersama suami.

Dr Afif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain menekankan, aspek komunikasi antara suami isteri adalah kunci utama dalam menangani masalah ini.

“Apabila hubungan intim tidak memuaskan, jangan jadikan ia alasan untuk bercerai atau mencari pasangan lain. 

“Sebaliknya, carilah jalan untuk memperbaiki kekurangan bersama-sama. Banyak cara boleh diusahakan, asalkan ada kesungguhan,” katanya.

Kesimpulannya, menopaus bukanlah titik noktah kepada hubungan romantik suami isteri. 

Dengan pemahaman, komunikasi terbuka dan rawatan perubatan yang sesuai, pasangan tetap mampu mengekalkan keharmonian rumah tangga dan menikmati kebahagiaan hingga ke usia emas.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

‘Saya tak kejar populariti’ – Iman Zulkarnain tolak publisiti murahan

Dalam dunia hiburan yang sering diukur melalui populariti dan perhatian media sosial, pelakon Iman Zulkarnain memilih untuk membina kerjayanya...

More Articles Like This