IBARAT bola yang ditendang ke sana dan ke sini. Itu gambaran yang berlaku kepada penduduk Kampung Tasik Permai yang menghadapi risiko ‘ditelan’ tanah runtuh dek kerana kerakusan ‘peneroka haram’ di kawasan tanah tinggi kampung tersebut.
Masakan tidak, hal itu kerana setiap kali mereka membuat aduan sama ada kepada wakil rakyat mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenai permasalah tersebut, ia masih lagi gagal diselesaikan sehingga mengancam nyawa penduduk.
Wakil penduduk, Krishna Veni Terasy ketika menghubungi UtusanTV berkata, semua penduduk Kampung Tasik Permai merayu agar Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Kerajaan Negeri Selangor untuk mengambil tindakan drastik bagi menghentikan kegiatan haram itu demi keselamatan mereka.
Tegas Krishna Veni, hal itu memandangkan ancaman tanah runtuh yang boleh berlaku pada bila-bila masa saja.
Menurut Krishnaveni, kegiatan ‘peneroka haram’ yang menarah tanah tinggi berkenaan dan membuang sampah sisa binaan serta sampah domestik ke bawah kawasan tersebut mengancam nyawa penduduk setempat.
“Kalau berlaku tanah runtuh, kebanyakan rumah akan tertimbus sepenuhnya. Tempat ini adalah penerokaan haram, orang ini bekerja (membuang sampah ke kawasan lurah berhampiran rumah penduduk) pada waktu awal pagi atau tengah malam.
“Bila kita tidur, kalau tiba-tiba berlaku tanah runtuh, memang kita tidak tahu pun. Dah ada berlaku tanah runtuh kecil sebelum ini. Ini boleh membahayakan nyawa orang,” katanya kepada UtusanTV.
Mengulas lanjut, Krishnaveni berkata, kegiatan pembuangan sampah domestik di kawasan lurah berkenaan juga telah menyebabkan rantaian masalah kepada penduduk setempat.
Antaranya, menurut Krishnaveni adalah bau busuk yang sangat kuat hasil daripada sampah domestik yang mendap di kawasan lurah berkenaan.
Selain itu, penduduk Kampung Tasik Permai juga dihantui dengan kes demam denggi serta serangan tikus di kawasan rumah masing-masing.
“Bau busuk ini berpunca daripada pembuangan sampah domestik, kalau di kawasan berhampiran kuil adalah sampah sisa bahan binaan, di kawasan sebelah pula sampah domestik.
“Mula-mula syarikat (milik peneroka haram) ini akan kumpul sampah-sampah di tapak atas ini, kemudian tengah malam atau awal pagi perlahan-lahan mereka akan tolak ke bawah tanah tinggi ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Krishna Veni memberitahu, surat aduan kepada Pejabat Daerah Tanah Hulu Langat turut dimajukan kepada Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Namun sehingga kini, dakwanya, tiada maklum balas yang diberikan oleh Rafizi atau pun pembantu di pejabat Parlimen beliau.
“Ahli Parlimen kami sibuk, kami tidak pasti sama ada beliau atau pembantunya ada membaca surat aduan yang turut dimajukan kepada beliau,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

