AKSES lebih awal kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Program BUDI MADANI RON 95 (BUDI95) mencerminkan keprihatinan Kerajaan Malaysia dalam menjaga kebajikan dan moral pasukan keselamatan negara yang sentiasa berkorban demi kedaulatan tanah air.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, melalui inisiatif itu, warga ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mula menikmati manfaat tersebut lebih awal bermula 27 September ini, tiga hari sebelum tarikh kuat kuasa rasmi pada 30 September.
Katanya, langkah itu dijangka memberi manfaat secara langsung kepada kira-kira 120,000 warga ATM sekali gus meringankan beban kos sara hidup mereka.
“Di bawah program ini, warga ATM bersama seluruh rakyat Malaysia layak menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter, berbanding harga semasa RM2.05 seliter, dengan had kelayakan sebanyak 300 liter sebulan.
“ATM amat menghargai keprihatinan dan sokongan padu Kerajaan Malaysia terhadap kebajikan warganya dan akan terus komited dalam melaksanakan amanah mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga pam petrol RON95 RM1.99 seliter akan bermula pada 30 September ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi golongan yang tidak layak, seperti bukan warganegara, mereka akan membeli RON95 pada harga yang akan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan pada tahap tanpa subsidi, dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.
Anwar berkata, pelaksanaan program BUDI95 akan dijalankan secara berperingkat untuk memastikan kelancaran sistem tanpa lonjakan penggunaan yang mendadak.
Katanya, pada 27 September ini, sistem BUDI95 dibuka awal kepada 300,000 anggota tentera dan polis manakala, pada 28 September, sistem BUDI95 dibuka awal kepada penerima STR yang merupakan golongan B40.
“Pada 30 September, sistem BUDI95 dibuka kepada 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif,” kata Anwar.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

