Kelate Charity Festival (KCF) 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang selepas berjaya menarik lebih 50,000 pengunjung sepanjang penganjurannya pada 17 hingga 20 September lalu di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Festival anjuran bersama Madoo Bee, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan HMS Maju Group itu terbukti menjadi platform penting dalam meringankan beban golongan asnaf, membuka peluang perniagaan serta mengangkat seni budaya negeri Kelantan.

Menggunakan slogan Kasih Disemai, Rezeki Dikongsi, Budaya Kelate, Pengarah Eksekutif KCF, Muhammad Kamal Azmi Mohd Rasdin menzahirkan rasa syukur atas sambutan luar biasa terhadap festival edisi sulung ini.
“Alhamdulillah, walaupun KCF ini kali pertama dianjurkan, sasaran lebih 50,000 pengunjung berjaya dicapai.
“Rata-rata pengunjung puas hati, menikmati pelbagai acara dan pulang dengan kenangan manis,” katanya ketika ditemui media pada hari ketiga festival.
Menurutnya lagi, bukan sahaja pengunjung dan peniaga yang berpuas hati, malah penaja serta tetamu kenamaan turut memberikan pujian terhadap kejayaan festival itu.

Kamal mendedahkan sambutan luar biasa turut dirasai daripada pihak penaja apabila masih ada syarikat yang mahu menyertai KCF meskipun tawaran penajaan telah penuh.
“Sebenarnya, semasa acara sedang berlangsung, ada empat penaja yang mahu turut serta, tetapi keadaan tidak mengizinkan.
“Kami amat menghargai minat mereka dan berharap dapat bekerjasama pada edisi akan datang,” jelasnya.
Lebih membanggakan, KCF 2025 turut berjaya meraikan 500 orang asnaf dengan sumbangan tunai hasil tajaan Maybank, Bank Muamalat dan Agro Bank.

“Matlamat utama KCF adalah menggerakkan semangat kebajikan dan kesatuan rakyat.
“Dana yang diperoleh daripada sewaan gerai serta jualan pakaian akan disalurkan ke Tabung KCF 2026,” tambah Kamal yang juga pengasas Madoo Bee.
Festival ini turut dimeriahkan dengan kehadiran ramai artis popular tanah air antaranya Datuk Awie, Datuk Nash, Faizal Tahir, Senario, Caliph Buskers, Aris Ariwatan, Rahmad Mega, Naqiu, Halim Yazid, Bob Sentuhan serta persembahan khas daripada Ameng Spring.
Ameng menyifatkan KCF 2025 sebagai festival terbesar pernah dianjurkan di Kelantan.

“KCF ada banyak elemen menarik dan penganjur bijak membawa artis-artis hebat.
“Ia memberi impak besar kepada pengunjung. Pada saya, ini festival paling ‘dahsyat’ setakat ini di Kelantan,” ujarnya selepas membuat persembahan.
Selain itu, seramai 1,111 pendikir barat bersama 20 penyanyi dan tukang karut bergabung menghiburkan pengunjung, manakala program Selawat Perdana menghimpunkan 1,111 peserta selawat dengan pengisian rohani bersama Ustazah Asma’ Husin dan artis jemputan Angeline Tan.
KCF 2025 turut menawarkan pelbagai aktiviti kekeluargaan termasuk Kelate Charity Walk yang mendapat penghormatan kehadiran Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra yang berkenan berjalan bersama rakyat.
Kanak-kanak pula dihiburkan dengan persembahan Didi & Friends, selain pertandingan mewarna, catur dan push bike.
Dengan lebih 100 gerai jualan, festival ini bukan sahaja menjadi medan hiburan, malah membuktikan bahawa kebajikan, ekonomi rakyat dan seni budaya boleh digabungkan dalam satu pentas yang memberi manfaat besar kepada masyarakat.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

