Takrif Jahil
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, maksud jahil ialah tidak mengetahui atau tidak memahami sesuatu hal; cetek pengetahuannya; bodoh. Contoh: Ada orang yang jahil tentang bahasa, tetapi mengaku ahli bahasa. Manakala kejahilan pula bermaksud keadaan atau hal jahil, sama ada dalam hal agama atau perkara lain.
Sesungguhnya, kejahilan merupakan pintu kepada kebinasaan dan fitnah. Apabila ilmu diangkat dan manusia semakin jauh daripada agama, lahirlah pelbagai perpecahan dan kemungkaran.
Makna Fitnah Menurut Ulama
Para ulama bahasa dan ahli tafsir telah menghuraikan makna fitnah dengan pelbagai pengertian:
- Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan bahawa fitnah ialah ujian dan cubaan. Menurut al-Qadhi ‘Iyadh, ia digunakan dalam kehidupan seharian untuk sesuatu yang tidak disukai. Fitnah juga boleh bermakna pembunuhan, adu domba (namimah), dan seumpamanya. (Lihat Fath al-Bari, 4/682)
- Al-Azhari menyebut: “Inti makna fitnah di dalam bahasa Arab terkumpul pada makna cubaan dan ujian.” (Lihat Tahzib al-Lughah, 14/296; Mu’jam Maqayis al-Lughah, 4/472)
- Ibn al-Athir berkata: “(Fitnah) banyak digunakan dalam perkara yang tidak disukai, kemudian digunakan untuk makna dosa, kekafiran, perang, pembakaran, penghilangan dan memalingkan sesuatu.” (Lihat al-Nihayah, 3/410)
- Ibn al-A‘rabi merumuskan: “Fitnah bermakna ujian, cubaan, harta, anak-anak, kekafiran, perselisihan pendapat, serta pembakaran dengan api.” (Lihat Lisan al-‘Arab, 13/317)
Kesimpulannya, fitnah adalah satu istilah yang merangkumi pelbagai makna, namun intinya tetap merujuk kepada ujian dan bala yang menguji manusia.
Fitnah dan Tanda-Tanda Akhir Zaman
Dr Abdul Aziz al-Tarifi menyebut: “Apabila zahirnya kejahilan, maka ia merupakan mukadimah kepada fitnah dan kebinasaan. Usia manusia akan dihabiskan dengan hanya mencari isu dan berita fitnah daripada sibuk menuntut ilmu. Inilah yang disebut dalam hadith tentang tanda-tanda akhir zaman.”
Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقْبَضَ العِلْمُ، وَتَكْثُرَ الزَّلاَزِلُ، وَيَتَقَارَبَ الزَّمَانُ، وَتَظْهَرَ الفِتَنُ، وَيَكْثُرَ الهَرْجُ
Maksudnya: “Tidak akan berlakunya Kiamat sehingga diangkat ilmu, banyaknya berlaku gempa, masa berlalu dengan pantas, terzahirnya fitnah-fitnah dan banyaknya pembunuhan.”
(Riwayat al-Bukhari, 1036)
Ilmu Dicabut dengan Kematian Ulama
Rasulullah SAW turut memberi amaran bahawa fitnah semakin meluas apabila ilmu dicabut dengan sebab kematian para ulama. Daripada Abdillah bin Amru bin al-As R.Anhuma katanya: Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوْسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekaligus daripada hamba-hamba-Nya. Tetapi Allah SWT menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim. Ketika itu orang ramai melantik ketua-ketua mereka dari kalangan orang yang jahil. Apabila mereka ditanya, mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat lagi menyesatkan.”
(Riwayat al-Bukhari, 100; Muslim, 2673)
Imam al-Nawawi mengulas: “Maksud dicabutnya ilmu bukanlah dipadamkan daripada dada para penghafalnya, tetapi dengan mematikan ulama yang membawa ilmu. Lalu orang ramai mengambil golongan jahil sebagai rujukan, maka mereka sesat dan menyesatkan.” (al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 16/224)
Fitnah yang Membolak-Balikkan Iman
Lebih membimbangkan, Rasulullah SAW mengingatkan bahawa fitnah akhir zaman boleh membolak-balikkan iman seseorang dengan begitu cepat. Daripada Abu Hurairah R.A, Baginda SAW bersabda:
بَادِرُوا بِالأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا أَوْ يُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنَ الدُّنْيَا
Maksudnya: “Hendaklah kamu bersegera melakukan amalan sebelum datangnya fitnah-fitnah ibarat kepingan-kepingan malam yang gelap gelita. Seseorang lelaki beriman pada waktu pagi, lalu kufur pada waktu petang. Atau beriman pada waktu petang, lalu kufur pada waktu pagi. Ini kerana dia menjual agamanya dengan sedikit mata benda dunia.”
(Riwayat Muslim, 118)
Al-Imam al-Suyuti menjelaskan: “Hadis ini menggesa agar segera beramal soleh sebelum kita dilanda fitnah yang bertimpa-timpa seperti kegelapan malam tanpa cahaya. Fitnah tersebut membawa manusia berubah daripada iman kepada kufur hanya dalam sekelip mata.” (al-Dibaj ‘ala Muslim, 1/134)
Doa Perlindungan daripada Fitnah
Akhirnya, Rasulullah SAW mengajarkan doa agar kita dilindungi daripada pelbagai fitnah:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”
Sumber : https://zulkiflialbakri.com/

