SUAMI kepada penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Nur Heliza Helmi iaitu Mahadi Badrul Zaman, memohon rakyat Malaysia agar tidak putus berdoa untuk keselamatan semua sukarelawan yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, Palestin.
Menerusi hantaran di Instagram (IG), Mahadi menyifatkan mereka yang terlibat dalam misi itu sebagai pejuang hebat dan berharap segala urusan dipermudahkan oleh Allah.
“Wahai rakyat Malaysia, jangan putuskan doa kita buat para pejuang kemanusiaan Global Sumud Flotilla yang kini berada di perairan Gaza.
“Semoga Allah melindungi, mempermudah urusan, memberkat pengorbanan mereka, terus diberi kekuatan, kesabaran dan pulang dengan selamat,” tulisnya.
Mahadi dalam hantaran berasingan turut meluahkan rasa syukur kerana diberi kesempatan untuk mengizinkan isterinya menyertai misi kemanusiaan berkenaan bersama 34 lagi rakyat Malaysia.
Menariknya, Heliza sendiri sempat meninggalkan komen di hantaran tersebut dengan berterima kasih kepada suami kerana reda dengan keputusannya.
“Maceh (terima kasih) beri keizinan dan reda. Ku serahkan dirimu dalam penjagaan Allah. Amin,” tulis Heliza.
Mahadi turut menzahirkan keikhlasannya merelakan pengorbanan tersebut demi misi kemanusiaan.
“@nurhelizahelmi aku meredhaimu kerana Allah. See you soon. Insya-Allah,” katanya.
Tindakan pasangan ini nyata menyentuh hati warganet yang rata-ratanya sebak membaca pengorbanan dan saling meredai antara suami isteri itu.
Ramai juga membanjiri ruang komen dengan doa agar semua aktivis Malaysia yang terlibat selamat pulang.
Setakat ini, kapal yang dinaiki Heliza bersama adiknya, Hazwani, dilaporkan ditahan oleh tentera Israel, sekali gus menjadikan mereka antara tahanan misi bantuan GSF.
Selain Heliza, beberapa selebriti lain turut berada dalam misi itu termasuk Zizi Kirana, Ardell Aryana, Hazwani Helmi dan aktivis Farah Lee.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

