PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman) mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera laut rejim Zionis Israel yang memintas dan menahan kapal-kapal Global Sumud Flotilla yang sedang dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza di perairan antarabangsa awal pagi tadi.
Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah berkata, tindakan itu bukan sahaja zalim malah melanggar undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS 1982) yang menjamin kebebasan belayar bagi kapal awam di laut lepas.
“Semua kapal awam di laut lepas mempunyai hak kebebasan belayar dan tidak boleh diganggu atau dirampas kecuali dalam keadaan tertentu seperti lanun, penyeludupan dadah atau jika kapal tidak berdaftar.
“Tindakan menghalang bantuan kemanusiaan ke kawasan konflik juga bercanggah dengan Konvensyen Geneva 1949 serta Protokol Tambahan I (1977), yang menetapkan semua pihak wajib membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan kepada orang awam tanpa sebarang halangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Hafiz, antara aktivis kemanusiaan yang ditahan terdapat rakyat Malaysia termasuk ahli Seniman sendiri yang menyertai misi flotilla berkenaan.
Sehubungan itu, Seniman menggesa kerajaan Malaysia segera menggunakan saluran diplomatik antarabangsa dan tekanan politik bagi menjamin keselamatan aktivis yang ditahan, serta memastikan pembebasan mereka dilakukan segera sebelum dihantar pulang ke tanah air.
“Seniman beranggapan bahawa menghalang misi kemanusiaan ke Gaza hanya akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di sana.
“Kami juga mendoakan agar semua aktivis yang ditahan, khususnya rakyat Malaysia, dilindungi Allah sebaik-baiknya dan tidak diapa-apakan oleh rejim Zionis Israel,” ujarnya.
Seniman turut memberi amaran tidak akan teragak-agak menghantar nota bantahan kepada Kedutaan Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekiranya tiada tindakan segera diambil terhadap insiden ini.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

