SERAMAI 16 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 telah diculik tentera rejim Zionis di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus.
Perkembangan itu dimaklumkan Ketua Pengarah Pusat Operasi Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby dalam kenyataan.
Menurut Sani Araby, kesemua rakyat Malaysia itu menaiki sembilan kapal daripada keseluruhan 18 kapal flotilla yang telah dipintas dan ditahan rejim Zionis.
Beliau berkata, rakyat Malaysia yang ditahan adalah Zainal Rashid Ahmad (ZRA) berada dalam kapal Amanda; Muhamad Muhsin Zaidi di atas kapal Isobella; Mohamad Shazli Mohammad Shees dan Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari (Cactus) serta tiga lagi di atas kapal Ferluto iaitu S Patmanathan; Syakirin Muhamed Senin dan Muhammad Amirul Afif Mohd Azhar.
Selain itu, katanya, dua rakyat Malaysia berada di atas kapal Bianca ITA iaitu Abdul Samad Selamat dan Naufa Azhari; Mohammad Farizzal Rostam dan Muhammad Zaid Abdul Karim (Gotico); Norazman Ishak di atas kapal Abodes dan Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman (Josef).
Beliau memberitahu, tiga lagi adalah Hazwan Hazim Dermawan; Mohd Shamsir Mohd Isa dan Osman Zolkifli di atas kapal Themis.
“SNCC mengesahkan sehingga pukul 8 malam waktu Malaysia, sebanyak 18 buah kapal flotilla melibatkan hampir 150 orang aktivis kemanusiaan telah dipintas oleh rejim Zionis Israel.
“SNCC mengesahkan 18 kapal flotilla itu ialah Cactus; Zio Faster; Holy Blue; Ferluto; Kyriakos; Amanda; Blue Toys; Barbaros; Isobella; Tenaz iaitu sebahagian daripada Freedom Flotilla; Vincovolo; Bianca ITA; Gotico; Abodes; Themis; Josef dan Sadabad,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dua delegasi Sumud Nusantara Pakistan dan Indonesia turut ditahan
Mengulas lanjut, Sani Araby memberitahu, pihaknya turut mengesahkan dua kapal yang ditahan rejim Zionis melibatkan delegasi Sumud Nusantara Pakistan iaitu Abdul Sattar Edhi Muhammad Saad di atas kapal Zio Faster dan Andi Anga Prasadewa dari Indonesia di atas kapal Josef.
“SNCC memantau rapat perkembangan terkini operasi flotilla dan akan terus menyalurkan kemas kini rasmi dari semasa ke semasa berhubung status keselamatan serta pergerakan flotilla.
“SNCC telah memaklumkan kepada pihak Perdana Menteri dan memohon campur tangan kerajaan Malaysia untuk mendesak negara Kesatuan Eropah (EU); Turkiye; Sepanyol dan lainnya untuk bertindak serta mengecam pencabulan kepada misi kemanusiaan non-violent ini,” jelasnya.
Ketika ini 37 kapal flotilla yang membawa 13 lagi rakyat Malaysia masih meneruskan pelayaran menuju Gaza, walaupun berdepan risiko keselamatan tinggi susulan ancaman pemintasan dan tindakan agresif berterusan tentera Israel.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

