Malaria, denggi, zika dan chikungunya, ini antara penyakit yang disebarkan melalui gigitan nyamuk. Jika tidak dirawat, boleh membawa maut. Malaria contohnya, bukan saja telah membunuh jutaan manusia, malah mampu melemahkan sebuah empayar.
Ok, apa hendak kami ceritakan kali ini bukanlah tentang penyakit bawaan nyamuk. Kalau diikutkan logik, kita semua tak mahu digigit nyamuk. Nampak nyamuk hinggap pada kulit, pekkkk!!! Sepantas kilat tangan kita akan menepuk makhluk kecil itu hingga ia ‘arwah’.
Tetapi berlainan pula di Rusia, penduduknya meraikan diri mereka untuk disuntik oleh haiwan ini. Kemunculan serangga penghisap darah ini dinanti-nantikan dalam sebuah festival setiap tahun.
Acara tersebut digelar sebagai ‘Mosquito festival’ atau festival nyamuk. Ia diadakan di bandar Berezniky, lokasi yang berdekatan dengan pergunungan Ural. Festival ini biasanya berlangsung pada musim panas kerana ketika itu nyamuk memang sangat banyak.

Ada pertandingan untuk orang yang digigit nyamuk paling banyak dalam festival ini. Caranya mudah. Peserta mendaftar, kemudian diletakkan di satu kawasan sama ada di tepi sungai atau hutan. Bahagian lengan, kaki dan sebahagian badan mestilah tidak dibaluti kain atau baju.
Peserta akan dibiarkan di situ untuk tempoh masa yang telah ditetapkan, contohnya selama 15 minit. Sepanjang waktu pertandingan itu berlangsung, peserta tidak dibenarkan menghalau nyamuk.
Selepas masa tamat, juri akan memeriksa peserta dan mencari siapa yang paling banyak digigit nyamuk. Maka, orang itulah yang akan diumumkan sebagai juara.
Seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun, Irina Ilyukhina pernah menjadi juara selepas menerima lebih 100 gigitan nyamuk dalam tempoh 20 minit. Dia diberi pengiktirafan khas dengan gelaran ‘tastiest girl’ selain menerima cenderahati berupa cawan seramik yang menjadi rebutan ramai orang setiap kali festival tersebut berlangsung.

Festival unik ini mula dianjurkan pada tahun 2003. Ia asalnya hanyalah acara kecil-kecilan oleh penduduk untuk mengisi masa lapang di musim panas. Ketika itu, nyamuk akan ‘menyerang’ penduduk dengan lebih agresif yang merupakan fenomena biasa bila tiba musim panas. Disebabkan itu timbul idea untuk membuat pertandingan siapa yang paling banyak digigit nyamuk.
Daripada pesta kecil, ia mula mendapat perhatian media dan pengunjung luar. Lama kelamaan ia berubah menjadi sebuah festival besar yang ditunggu setiap tahun.
Selain pertandingan gigitan nyamuk, festival ini turut dimeriahkan dengan pemilihan ‘Ratu Nyamuk’, acara pakaian kostum pelik yang menyerupai nyamuk selain persembahan tarian dan muzik rakyat tempatan.

Gila biarkan diri digigit nyamuk? Tak dapat penyakit ke? Itu antara persoalan yang sering diajukan.
Menurut penganjur, sebelum pertandingan itu diperkenalkan, pihak mereka telah meminta nasihat daripada pakar perubatan berkaitan jaminan keselamatan peserta selepas digigit oleh kawanan nyamuk yang banyak.
Ketika sesi acara itu berlangsung, ia turut diadili oleh beberapa orang pengadil yang mempunyai latar belakang dalam bidang perubatan. Justeru, tidak timbul isu pertandingan berkenaan memberi kesan buruk kepada peserta.
Ia turut disertakan dengan statistik di mana jangkitan virus Zika di Rusia adalah lebih rendah berbanding negara-negara lain. Kes yang berlaku pula disebabkan mangsa pulang daripada melancong atau menziarahi negara luar. Tiada yang disebabkan pertandingan ini. Sebab itu festival ini berlangsung meriah saban tahun.
Selain di Rusia, perayaan serupa turut diajurkan di Houston, bandar kecil dalam daerah Texas di Amerika Syarikat. Di sana, acara tersebut digelar sebagai The Great Texas Mosquito Festival. Difahamkan, ia dianjurkan untuk menarik minat para pelancong supaya datang mengunjungi bandar tersebut.
__
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

