PENYANYI baharu Indonesia, Asrilia Kurniati meluahkan hasrat terbesar dalam kerjaya seninya iaitu ingin berduet bersama Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang menjadi idolanya sejak kecil.
Asrilia berkata, dia sudah lama mengagumi karya Siti Nurhaliza serta sering menyanyikan lagu-lagu popular penyanyi tersohor itu, antaranya Aku Cinta Padamu, Bukan Cinta Biasa, Cindai, Seindah Biasa dan Wajah Kekasih.
“Saya sentiasa mengagumi Siti Nurhaliza. Kalau diberi peluang kolaborasi dengan penyanyi Malaysia, pastinya saya mahu bersama beliau kerana kehebatannya tiada tandingan.
“Rasanya bukan saya seorang, malah ramai penyanyi Indonesia juga menjadikan Siti sebagai inspirasi,” katanya kepada URTV.
Pelantun lagu Di Mana Salahnya dan Semakin Rindu Kemarin itu berkata, dia turut memasang cita-cita untuk mengembangkan karier seni ke Malaysia.
“Indonesia dan Malaysia itu satu rumpun. Saya mahu berkongsi bakat di sini (Malaysia). Sebagai langkah awal, saya merakamkan semula lagu Terima Kasih Cinta nyanyian asal Afghan yang saya tahu sangat popular di Malaysia.
“Kali ini, peminat boleh dengar versi wanita. Bukan soal menumpang populariti, sebaliknya ia sebagai kelainan untuk memperkenalkan diri saya di sini,” jelasnya.
Asrilia turut menegaskan dirinya bersedia menerima apa sahaja kritikan atau komen netizen, sama ada positif mahupun sebaliknya.
“Sebagai public figure, kita harus sedia hadap apa sahaja. Publisiti baik atau buruk, itu semua bergantung kepada tafsiran masyarakat.
“Yang penting, jangan sampai terjebak dengan perkara jenayah. Kalau niat kita baik tetapi disalah tafsir, itu perkara biasa.
“Kita kena kuat mental dan fizikal untuk teruskan perjuangan dalam bidang seni,” katanya lagi.
Asrilia berharap lagu Terima Kasih Cinta versi nyanyiannya akan membuka pintu rezeki di Malaysia dan menjadi langkah pertama merealisasikan impian berduet dengan Siti Nurhaliza.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

