Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kembali bergema dengan Karnival Sukan Pemotoran, satu inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi mendekatkan masyarakat dengan dunia sukan berasaskan enjin itu.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, pendekatan ‘merakyatkan sukan pemotoran’ bukan sahaja untuk menarik minat generasi muda, tetapi juga untuk membina kesedaran tentang kepentingan keselamatan di litar dan di jalan raya.

“Kita mahu masyarakat melihat sukan pemotoran bukan sebagai aktiviti eksklusif atau berbahaya, sebaliknya sebagai satu disiplin sukan yang mengajar kemahiran, tanggungjawab dan keselamatan,” katanya selepas meninjau penganjuran karnival di SIC, semalam.
Jelasnya melalui program seperti ini, KBS memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai pengalaman sebenar di litar, daripada sesi pandu uji hingga kepada interaksi bersama pelumba profesional.
“Ramai yang selama ini hanya menonton dari jauh. Kini mereka boleh alami sendiri bagaimana suasana di litar dan belajar tentang aspek teknikal serta keselamatan,” ujarnya.

Menurut beliau, kerajaan komited memastikan pembangunan sukan pemotoran terus berkembang melalui sokongan infrastruktur dan peruntukan kewangan yang konsisten.
SIC, katanya, menerima peruntukan tahunan kira-kira RM50 juta bagi penyelenggaraan dan penganjuran acara antarabangsa, manakala program pembangunan pemandu muda serta Rakan Muda turut diperuntukkan sebanyak RM25 juta.
“Untuk tahun ini sahaja, lebih RM3 juta telah disalurkan khusus untuk aktiviti berkaitan sukan pemotoran. Kita mahu pastikan Sepang kekal sebagai pusat tumpuan sukan ini, bukan sahaja di rantau ini, malah di peringkat global,” jelasnya.

Adam Adli menambah, potensi Sepang masih luas dan usaha sedang digiatkan untuk menarik lebih banyak kerjasama antarabangsa serta penganjuran acara berprofil tinggi ke Malaysia.
Sementara itu, penganjur karnival, Najiy Ayyad, menekankan bahawa elemen pendidikan dan latihan merupakan antara tumpuan utama karnival kali ini.
“Kita bukan sekadar mahu orang datang untuk berseronok, tetapi juga untuk belajar. Aktiviti seperti taxi ride dan sesi pemanduan dikendalikan secara terkawal agar peserta dapat memahami teknik, kawalan dan disiplin di litar,” katanya.

Najiy menjelaskan, latihan yang berterusan perlu disertai dengan elemen pertandingan bagi memastikan pemandu dapat menilai kemampuan dan kemajuan masing-masing.
“Latihan tanpa pertandingan tidak memberi kesan besar. Apabila ada saingan, barulah kemahiran benar-benar diuji dan berkembang,” ujarnya.
Beliau turut berterima kasih kepada penganjur perlumbaan tempatan seperti MTCC dan MSCF yang menjadi platform asas bagi anak muda memulakan langkah dalam dunia pemotoran.
“Inilah akar umbi yang perlu kita pelihara. Dari sini lahir bakat-bakat baharu yang suatu hari nanti mampu mengharumkan nama Malaysia,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada semua vendor dan pengunjung, termasuk peserta dari Singapura yang turut memeriahkan acara tersebut.
Karnival yang berlangsung selama dua hari itu bukan sekadar mempamerkan kehebatan jentera dan kelajuan, tetapi turut menyerlahkan usaha kerajaan menjadikan sukan pemotoran sebagai medium pendidikan, keselamatan dan pembangunan bakat belia negara.
Program selama dua hari tersebut menghimpunkan pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran automotif, sesi pandu uji, aktiviti keluarga serta perlumbaan grassroots, dengan matlamat menjadikan sukan pemotoran lebih inklusif dan difahami oleh masyarakat umum.

