MoneyX, sebuah platform penyelesaian perniagaan berkuasa kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan bersama Mandrill Tech Sdn. Bhd., melancarkan Net7, sistem pengurusan hubungan pelanggan (CRM) pintar pertama di Malaysia yang dipacu AI.
Ketua Pegawai Eksekutif Hextar Technologies Solutions Berhad, Datuk Eddie Ong Choo Meng berkata, Net7 direka bagi membantu syarikat dalam sektor seperti perbankan, insurans dan runcit mengurus data dengan lebih selamat serta boleh digunakan di seluruh dunia.
“Net7 berintegrasi dengan lancar bersama platform CRM utama yang sedia ada, menyokong piawaian ISO 27001 dan mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA).
“Selain itu, ia turut menyokong konsep rangkaian digital lestari dengan mengurangkan kebergantungan terhadap kad nama bercetak,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya lagi, nama Net7 dipilih kerana ia melambangkan rangkaian perniagaan tanpa sempadan di seluruh dunia, dengan matlamat untuk menghubungkan lebih banyak syarikat melalui teknologi pintar.
Eddie turut menjelaskan bahawa gabungan teknologi AI dan sistem CRM pintar ini mengubah cara syarikat membina hubungan perniagaan, daripada sekadar bertukar kad nama kepada peluang kerjasama yang berpanjangan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mandrill Tech Sdn. Bhd., Davent Low berkata, selepas kejayaan pelancaran Net7, syarikat kini bersedia memperkenalkan versi baharu, Net7 Enterprise, pada akhir tahun ini.
Katanya, versi ini menggunakan teknologi AI dan data pintar untuk membantu syarikat memahami rangkaian pelanggan mereka dengan lebih baik serta mengenal pasti peluang jualan baharu secara automatik.
“Secara tradisional, kad perniagaan hanyalah maklumat statik yang tidak memberitahu perkembangan terbaharu kenalan atau syarikat mereka. Melalui Net7, pengguna kini akan sentiasa dimaklumkan apabila kenalan berpindah ke peranan atau organisasi baharu kerana profil rangkaian akan dikemas kini secara automatik. Gabungan ciri-ciri ini menjadikan pengurusan hubungan profesional lebih pintar, mudah dan berkesan,” katanya.
Net7 dibina menggunakan teknologi pintar berasaskan kad perniagaan dan akan diperluaskan ke pasaran antarabangsa. Tidak seperti aplikasi kenalan biasa, Net7 mampu menukar maklumat seperti nombor telefon dan e-mel kepada profil perniagaan yang lengkap, tersusun dan boleh dicari dengan cepat menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Dengan Net7, pengguna boleh mengimbas kad perniagaan atau mencari semula kenalan lama tanpa kesulitan, memastikan hubungan perniagaan sentiasa terpelihara.
Aplikasi ini membantu profesional dan syarikat membina serta mengurus rangkaian mereka dengan lebih mudah. Semua maklumat kenalan turut disimpan dengan selamat dan menjadi aset berharga milik syarikat.

