PERSATUAN Industri Rakaman Malaysia (RIM) menyeru agar kerajaan memberikan sokongan kukuh terhadap pembangunan industri muzik tempatan menjelang pembentangan Belanjawan 2026, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab kandungan digital utama di rantau Asia.
Menurut RIM, industri muzik merupakan sebahagian penting dalam sektor kreatif negara yang dinamik dan berpotensi besar untuk menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia, seiring dengan hala tuju kerajaan untuk menjadikan aset digital sebagai tonggak penting sistem kewangan masa depan, seperti yang ditegaskan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo baru-baru ini.
Pengerusi RIM, Rosmin Hashim, berkata peningkatan peruntukan dana kepada industri muzik akan membawa kesan limpahan ekonomi yang besar kepada pelbagai sektor lain.
“Berdasarkan Kajian Impak Ekonomi Industri Muzik Malaysia oleh PwC bagi tempoh 2016 hingga 2020, industri muzik tempatan telah menjana RM19.4 bilion hasil ekonomi, menyumbang RM531 juta cukai tahunan, serta menyokong purata 111,000 peluang pekerjaan setiap tahun,” katanya.
Tambahnya, peningkatan dana bukan sahaja menguntungkan pemain muzik tempatan, tetapi turut memberi manfaat kepada sektor berkaitan seperti acara muzik langsung, tempat hiburan, media penyiaran dan pelancongan.
Rosmin turut berkongsi, pada 2024, industri muzik Malaysia mencatatkan pendapatan tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM339 juta, hasil daripada platform digital seperti YouTube, Spotify, Apple Music, TikTok dan Facebook, serta kutipan oleh organisasi pengurusan kolektif (CMO) seperti MACP, PPM dan RPM.
“Angka ini belum termasuk pendapatan daripada penerbitan muzik, acara langsung dan pengurusan artis.
“Jika diambil kira semua sumber itu, jumlah sebenar pastinya jauh lebih tinggi,” ujarnya.
RIM turut memuji keberkesanan Dana Kreatif Digital Industri Muzik (DKK) di bawah Kementerian Komunikasi, yang telah membantu melahirkan lebih banyak karya berkualiti tinggi.
Antara penerima manfaat termasuk Aina Abdul, Dayang Nurfaizah dan Hazama, yang mendominasi Anugerah Industri Muzik (AIM) baru-baru ini.
Malah, Dayang Nurfaizah turut merangkul Album Terbaik menerusi album Belagu 2.
“Kami amat berharap agar Kementerian Komunikasi dapat meneruskan dan memperkukuh dana ini untuk manfaat berterusan kepada penggiat muzik tempatan,” ujarnya.
RIM turut menekankan keperluan kerajaan untuk membantu mempromosikan muzik Malaysia ke peringkat antarabangsa, dengan mengambil kira kekayaan kepelbagaian budaya negara.
“Rakaman muzik tempatan dalam bahasa Cina, India dan Melayu berpotensi besar menembusi pasaran utama seperti China, India dan Indonesia.
“Begitu juga dengan genre nasyid dan muzik Islamik, yang semakin mendapat tempat di peringkat global,” jelasnya lebih lanjut.
Rosmin menegaskan bahawa dengan dasar yang betul serta kolaborasi awam-swasta, Malaysia mampu mencapai kejayaan serupa seperti Korea Selatan yang menjadikan K-Pop sebagai eksport utama negara.
Sebagai perbandingan, kerajaan Korea Selatan telah menjadikan industri K-Pop sebagai sektor ekonomi keutamaan, dengan pelaburan kerajaan meningkat daripada 1 bilion Won (2009) kepada 319 bilion Won (2013), dan dijangka melebihi 696 bilion Won (USD584 juta) tahun hadapan.
“Langkah Korea Selatan ini membuktikan bahawa kandungan muzik boleh menjadi pemacu ekonomi nasional yang signifikan,” jelasnya.
Pada masa sama, Rosmin menyifatkan industri muzik Malaysia kini berada di landasan kukuh untuk merealisasikan potensi besar menjelang 2026.
“Dengan sokongan dana yang lebih besar, pembangunan bakat tempatan yang berterusan, serta promosi agresif ke luar negara, Malaysia berpotensi muncul sebagai antara kuasa besar aset digital Asia,” katanya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

