SELEPAS mencipta pelbagai kejayaan dalam penganjuran konsert berskala besar, ICON Entertainment by Iman Tang sekali lagi tampil dengan projek mega bagi tahun 2026 yang dijangka menjadi antara konsert berunsur kerohanian terbesar di Malaysia.
Konsert 25 Tahun Inteam – Nur Kasih yang dijadual berlangsung pada 1 Februari 2026 di Axiata Arena Bukit Jalil bakal menjadi persembahan istimewa meraikan perjalanan dua dekad kumpulan nasyid tersohor itu dalam industri seni tanah air.
Menurut Pengasas ICON Entertainment, Iman Tang, penganjuran kali ini bukan sekadar hiburan, tetapi usaha memperkukuh nilai spiritual dalam dunia hiburan moden.

“Kami meraikan semua genre muzik, termasuk nasyid dan karya berunsur kerohanian.
“Inteam telah membuktikan bahawa muzik dakwah juga mampu bertahan lama dan menyentuh hati ramai pendengar,” katanya.
Iman berkata, konsert tersebut akan menampilkan anggota asal Inteam iaitu Hazamin Harun, Syahril Ab Khalid, Rahim Osman dan Hisyam Ahmad yang bakal membawa penonton mengimbau karya popular seperti Nur Kasih, Dia, Kerana Cinta dan Kasih Kekasih.
“25 Tahun Inteam Nur Kasih bukan sekadar persembahan nostalgia, tetapi sebuah penghargaan kepada perjuangan mereka menyebarkan mesej positif melalui muzik,” tambahnya.
Menariknya, konsert ini turut disertai dengan cabutan bertuah eksklusif sebagai tanda penghargaan buat peminat setia kumpulan tersebut.
Sebanyak enam pakej umrah bernilai RM8,999 setiap satu tajaan Jay Ibrahim Al Islam Travel & Tour Sdn Bhd bakal menjadi milik peminat bertuah.
Selain itu, 10 baucar Jay Ibrahim Al Islam bernilai RM5,000, dua skuter Modenas Elit 150s, dan satu unit telefon pintar terkini turut disediakan sebagai hadiah utama.
“Kami mahu konsert ini bukan hanya menjadi tontonan hiburan, tetapi juga ruang untuk menyantuni peminat yang telah setia bersama Inteam selama lebih 20 tahun,” ujarnya.
Tiket Sudah Mula Dijual
Tiket bagi 25 Tahun Inteam Nur Kasih kini mula dijual dengan lapan kategori berbeza:
DIA (RM168), KERANA CINTA (RM258), BISIKAN NURANI (RM288), KASIHKU ABADI (RM328), KIAS CINTA (RM368), SELIMUT KASIH (RM388), NUR KASIH (RM428) dan KASIH KEKASIH (RM488).
Iman mengajak peminat untuk segera mendapatkan tiket masing-masing sebelum kehabisan tempat.
“Kami yakin konsert ini akan membuka tirai tahun 2026 dengan sesuatu yang mendalam dan bermakna buat peminat nasyid,” jelasnya.
25 Tahun Inteam – Nur Kasih
? Tarikh: 1 Februari 2026
? Lokasi: Axiata Arena, Bukit Jalil
? Masa: 8.20 malam
?️ Anjuran: ICON Entertainment by Iman Tang

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

