Usaha memperkukuh jenama Malaysia di persada antarabangsa terus diperkasa apabila 10 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan bakal menembusi pasaran Korea Selatan menjelang Disember ini.
Langkah itu direalisasikan melalui Program Pengukuhan Eksport PKS – Inisiatif Mentor Eksport (ME) anjuran SME Corp Malaysia yang dilihat mampu melonjakkan eksport produk tempatan ke pasaran bernilai tinggi Asia Timur.

Menurut Pengarah Projek dan Perunding Malaysia–Korea Selatan, Mumtaz Jaya Sdn. Bhd., Nurul Farhana Abdullah, inisiatif berkenaan merupakan kesinambungan usaha SME Corp memperluas capaian PKS ke pasaran antarabangsa selepas kejayaan program sama di Amerika Syarikat, China, Thailand, Jepun dan Indonesia.
“Korea Selatan dipilih kerana potensinya besar dan pasaran di sana terbuka terhadap produk baharu yang berkualiti serta mempunyai cita rasa antarabangsa.
“Mumtaz Jaya diberi tanggungjawab untuk mengenal pasti dan menilai produk PKS yang berdaya saing serta menepati piawaian ketat negara tersebut,” katanya ketika ditemui selepas SME Venture@ASEAN 2025 di MITEC, baru-baru ini.

Tambah beliau, melalui kerjasama kerajaan-ke-kerajaan (G2G), para usahawan bukan sahaja dibantu dari aspek teknikal dan pensijilan, malah turut dibimbing dalam strategi penjenamaan dan pemasaran bagi memastikan produk Malaysia mampu bersaing di rak-rak pasar raya Korea.
“Biasanya proses eksport mengambil masa panjang kerana perlu memenuhi pelbagai standard antarabangsa. Namun melalui program ini, PKS dapat mempercepatkan persiapan dengan bimbingan mentor yang berpengalaman,” jelasny
Antara syarat asas penyertaan termasuklah memiliki pensijilan Good Manufacturing Practice (GMP), dan digalakkan mempunyai Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP) atau ISO 22000 sebagai jaminan keselamatan serta kualiti produk.
Mengulas lanjut, Nurul Farhana berkata antara produk yang dikenal pasti untuk pasaran Korea Selatan ialah minuman, kopi, sambal, sardin dan mi segera yang akan dipasarkan oleh BCMJ Global Sdn. Bhd., pengimport berpusat di Seoul.
“Produk Malaysia akan diperkenalkan menerusi mesin layan diri ‘Kaja Mumtaz’ di beberapa lokasi tumpuan di Korea Selatan. Ia satu cara promosi yang moden dan mudah diakses pengguna muda di sana,” katanya.

Sementara itu, Pengasas jenama minuman Oli, Fara Jasseica Mohd. Rashid berkata, sokongan SME Corp membuka peluang besar kepada syarikatnya untuk menembusi pasaran antarabangsa selepas kejayaan di Amerika Syarikat dan Papua New Guinea.
“Kami bermula pada tahun 2010 dan menjenamakan semula produk minuman jeli Oli pada 2019. Kini kami bersedia untuk ke pasaran ketiga – Korea Selatan. Pasaran ini amat strategik untuk memperkukuh kedudukan jenama kami di rantau Asia,” katanya.
Beliau berkata, minuman Oli kini terjual sekitar setengah juta pek sebulan di Malaysia, dengan keunikan produk yang menumpukan segmen kanak-kanak dan remaja.
Dalam pada itu, Pengasas Hijrah Nature Herbs, Mohamad M. Said pula menyifatkan kejayaan syarikatnya menembusi enam negara termasuk China, Arab Saudi dan kini Korea Selatan sebagai hasil kesabaran dan bimbingan berterusan daripada pelbagai agensi.

“Program ini bukan sekadar membuka pintu eksport, tetapi turut memperkukuh kapasiti pengeluaran kami. Dengan mesin baharu yang dibantu kerajaan, kami kini mengeksport setiap dua bulan ke pasaran luar,” katanya.
Syarikat berpangkalan di Tangkak, Johor itu menghasilkan 23 produk meliputi makanan, minuman, kesihatan, kecantikan dan penjagaan diri termasuk ubat gigi, probiotik, kopi serta teh.

