FESTIVAL Filem Malaysia ke-34 (FFM34) kembali menghangatkan pentas perfileman tanah air dengan barisan calon yang mencerminkan kepelbagaian sinema tempatan dari filem aksi berskala besar, naskhah beremosi hingga karya eksperimental yang berani mencabar bentuk penceritaan konvensional.
Lima filem hebat iaitu Blood Brothers: Bara Naga, Babah, Reversi, Takluk: Lahad Datu dan Soloz: Game of LifeĀ bakal bersaing merebut trofi Filem Terbaik, kategori paling berprestij yang menjadi kemuncak kepada pesta tahunan pengiktirafan industri ini.
Tahun ini, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bersama Kementerian Komunikasi Malaysia memperkenalkan ganjaran luar biasa iaitu Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM1 juta untuk pemenang Filem Terbaik.Ā
Ia bukan sekadar hadiah kemenangan, tetapi tanggungjawab besar untuk mengangkat filem Malaysia ke pentas global.
Filem arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra iaitu Blood Brothers: Bara Naga antara calon terkuat, bukan sahaja kerana pencalonan terbanyak, tetapi juga kejayaan komersialnya.
Dipuji kerana visual mantap, koreografi aksi yang mengagumkan serta naratif persaudaraan yang menyentuh perasaan, Bara Naga membuktikan filem aksi juga mampu membawa lapisan emosi mendalam.Ā
Ramai melihatnya sebagai karya yang seimbang antara hiburan dan jiwa, menjadikannya calon utama untuk dinobatkan sebagai juara.
Sementara itu, filem arahan Mohd Shah Faizul Ibrahim iaitu Babah pula membawa penonton menyelami kasih sayang antara bapa dan anak dalam suasana yang realistik dan penuh keikhlasan.
Tanpa kesan dramatik berlebihan, filem ini menyentuh hati dengan naratif yang jujur, dan lakonan yang bersahaja namun berkesan. Ia mungkin tidak gah secara teknikal, tetapi dari sudut emosi dan kemanusiaan, Babah berpotensi menjadi pilihan yang mampu mencipta kejutan di malam kemuncak.
Filem Reversi arahan sutradara Adrian Teh ini tampil sebagai karya paling eksperimental dalam senarai. Dengan tema psikologi dan struktur non-linear, Reversi mencabar persepsi biasa tentang penceritaan filem Melayu.
Lakonan Beto Kusyairi dipuji ramai, kompleks, sarat konflik dalaman dan berlapis emosi. Walaupun ada penonton yang menganggap filem ini sukar dihadam, keberanian pengarahan dan kekuatan artistiknya menjadikan Reversi antara calon paling berani dan berbeza tahun ini.
Dalam pada itu, karya Takluk: Lahad Datu arahan Zulkarnain Azhar ini mengangkat peristiwa benar yang pernah menggamit negara.
Ia membuktikan kemampuan pembikin tempatan menghasilkan filem aksi patriotik bertaraf tinggi. Dengan sinematografi cemerlang dan suasana medan tempur yang realistik, Takluk menyerlah dari sudut visual dan semangat nasionalisme.
Walaupun jalan ceritanya di anggap sederhana oleh sesetengah pengkritik, nilai keberanian dan perjuangan menjadikan karya ini tetap relevan dan membanggakan.
Terakhir, filem Soloz: Game of Life membawa nafas baharu ke layar tempatan dengan tema e-sukan dan realiti maya, satu genre yang jarang diteroka.
Arahan Syafiq Yusof sekali lagi menampilkan percubaan berani, namun masih ada ruang untuk diperhalusi terutama dari aspek pembangunan watak dan naratif. Meski begitu, Soloz harus dipuji kerana memperkenalkan dunia digital kepada sinema Malaysia, sesuatu yang berpotensi besar di masa depan.
Melihat kepada pencapaian teknikal dan sambutan penonton, Blood Brothers: Bara Naga dilihat paling berpotensi menjulang trofi utama.
Ā Namun, Reversi dan Babah juga tidak boleh dipandang ringan, masing-masing membawa kekuatan unik yang mungkin menambat hati juri.
Apa pun keputusannya, FFM34 kali ini jelas membuktikan industri filem Malaysia sedang melalui fasa kematangan baharu, dengan pembikin filem kini lebih berani bereksperimen dan menolak batasan konvensional.
Malam kemuncak FFM34 bakal berlangsung malam esok di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri, Kota Media, dihoskan oleh Datuk Afdlin Shauki dan Che Puan Sarimah Ibrahim.
Acara ini akan disiarkan secara langsung di RTM TV2 serta platform YouTube FINAS bermula jam 9 malam.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

