DUA wanita iaitu pemandu dan seorang daripada penumpang kereta jenis Proton Saga maut selepas kenderaan dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan lori di Kilometer 14, Jalan Lahad Datu-Tawau, petang semalam.
Kemalangan tersebut turut melibatkan tiga kenderaan lain iaitu sebuah Perodua Alza; sebuah motosikal dan sebuah jentera jenis Hitachi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau memaklumkan, kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu mengakibatkan pemandu Proton Saga berusia 21 tahun meninggal dunia di lokasi kemalangan.
Pada masa sama, kata beliau, penumpangan hadapan kenderaan itu yang berusia 35 tahun pula menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Lahad Datu.
Menurut Jimmy, siasatan awal di lokasi mendapati kemalangan berlaku semasa Proton Saga yang dinaiki tujuh orang itu dalam perjalanan dari arah Tawau menuju ke Bandar Lahad Datu.
“Sebaik tiba di lokasi, kereta tersebut disyaki telah hilang kawalan dan masuk ke lorong bertentangan dan seterusnya berlanggar dengan sebuah lori yang dipandu seorang lelaki.
“Impak dari pelanggaran itu menyebabkan lori tersebut termasuk ke lorong bertentangan kemudian melanggar sebuah Perodua Alza yang dipandu lelaki berusia 32 tahun dan sebuah motosikal yang ditunggang lelaki berusia 20 tahun,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Jimmy memberitahu, lori dan Perodua Alza itu kemudiannya telah terjatuh ke dalam gaung kawasan pembinaan jalan Pan Borneo.
Katanya, kenderaan tersebut juga telah melanggar sebuah jentera jenis Hitachi yang tidak bergerak di kawasan berkenaan.
“Penumpang bahagian belakang Proton Saga termasuk tiga kanak-kanak dan seorang remaja di samping seorang penunggang motosikal telah dibawa ke hospital bagi rawatan susulan.
“Pemandu lori dan Perodua Alza pula tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Mana-mana individu yang menyaksikan kejadian ini diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Humaidi Harusn di talian 089-881255 atau ke balai polis berhampiran,” katanya.

