SALAM Shah Alam Specialist Hospital melakar sejarah tersendiri apabila menjadi hospital pertama di Malaysia yang menjalankan ujian klinikal bagi Reagentless Blood Testing and Vital Signs Analyser (REVA), teknologi inovatif tanpa reagen hasil penyelidikan MIMOS, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Inisiatif ini menjadikan SALAM Shah Alam sebagai perintis dalam memperkenalkan teknologi kesihatan pintar di peringkat hospital komuniti, selaras dengan komitmen hospital itu untuk menyediakan rawatan berkualiti tinggi pada harga berpatutan.
Ketua Pegawai Eksekutif SALAM Shah Alam Specialist Hospital, Akim Affandi Ahmad berkata, pelaksanaan REVA membuktikan bahawa hospital komuniti juga mampu menjadi peneraju dalam penerapan teknologi terkini.
“Walaupun kami beroperasi sebagai hospital komuniti dengan struktur harga berpatutan, kualiti perkhidmatan kesihatan tidak pernah kami kompromi. Kami sentiasa berusaha membawa teknologi moden dan menjalin kerjasama strategik seperti ini agar masyarakat dapat menikmati rawatan yang berkualiti tanpa beban kewangan yang besar,” katanya.
REVA merupakan inovasi kesihatan yang membolehkan ujian darah dilakukan dengan lebih pantas dan mudah tanpa penggunaan bahan kimia (reagen). Dengan hanya meletakkan jari pada peranti REVA, keputusan kadar gula dapat diperoleh dalam masa singkat dan disalurkan secara automatik ke pangkalan data khas untuk analisis segera.

Teknologi ini bukan sahaja menjimatkan masa malah meningkatkan kecekapan diagnostik dan kebolehpercayaan data perubatan.
Tambah Akim Affandi lagi, kolaborasi bersama MIMOS ini menjadi bukti komitmen SALAM Shah Alam untuk kekal seiring dengan kemajuan teknologi kesihatan setaraf hospital besar.
“Kami percaya penjagaan kesihatan moden haruslah inklusif. Prinsip kami jelas iaitu Quality, Comfortable, Affordable Care for All,” ujarnya.
Sementara itu, MIMOS dalam kenyataannya berkata kerjasama tersebut selaras dengan usaha agensi berkenaan memperluaskan penggunaan teknologi kesihatan pintar di hospital komuniti serta memastikan inovasi tempatan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

Kerjasama ini merupakan kolaborasi kedua antara SALAM Shah Alam dan MIMOS selepas kejayaan projek saringan kesihatan untuk warga kerja MIMOS pada Jun lalu, yang menjadi asas kepada kepercayaan berterusan kedua-dua pihak dalam memperkenalkan inovasi kesihatan baharu kepada industri.
Dengan pelaksanaan REVA ini, Malaysia kini selangkah ke hadapan dalam penggunaan teknologi kesihatan tempatan yang lebih efisien, berinovasi dan mesra komuniti.

