KADAR pengangguran belia berumur antara 15 hingga 30 tahun menurun daripada 6.7 peratus pada tahun 2023 kepada 6.5 peratus tahun lalu.
Penurunan itu seiring dengan kadar pengangguran nasional yang turut menyusut kepada 3.2 peratus daripada 3.4 peratus bagi tempoh sama.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong memaklumkan, jumlah tersebut diperoleh daripada laporan Survei Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
Menurut Steven Sim, walaupun dilihat tinggi, namun kadar pengangguran belia itu disifatkan trend biasa bagi kebanyakan negara.
Kata beliau, ia memandangkan kumpulan itu baru menamatkan pengajian dan sukar mendapat pekerjaan akibat tiada pengalaman.
“Kerajaan sentiasa proaktif dan berusaha secara berterusan dalam merangka serta melaksanakan pelbagai inisiatif merentasi kementerian dan agensi.
“Ia bagi mempertingkatkan peluang-peluang pekerjaan bagi golongan belia seterusnya dapat menyokong pelaburan infrastruktur kecederasan buatan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) berhubung strategi Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dalam mengurangkan pengangguran dalam kalangan belia Malaysia yang masih tinggi berbanding kadar nasional dalam menyokong pelaburan infrastruktur kecerdasan buatan yang kini cenderung dalam mewujudkan peluang pekerjaan untuk tenaga asing berkemahiran tinggi.
Baca artikel lain: ‘Jangan kecewa, Meritus University tawar peluang ceburi bidang maritim’, nasihat Tan Sri Halim Mohammad kepada belia
Mengulas lanjut, Steven Sim berkata, Kesuma melalui agensi-agensi di bawahnya telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk membantu pencari kerja mendapatkan pekerjaan setaraf akademik dan kemahiran belia melalui PERKESO.
Beliau berkata, Kesuma melalui Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) turut melaksanakan Insentif Latihan Amali (ILHAM) Kesuma bagi membantu bakat baharu dan merancakkan sektor pekerjaan negara.
Selain itu, katanya, TalentCorp turut memberi fokus terhadap pembangunan kebolehpasaran dan kebolehkerjaan bakat muda negara.
Steven Sim memaklumkan, Jabatan Tenaga Manusia (JTM) juga menawarkan sebanyak 112 program sepenuh masa di peringkat sijil, diploma dan diploma lanjutan di 33 buah institusi latihan jabatan tenaga manusia (ILJTM) di seluruh negara.
“JTM turut aktif memperluas penawaran program separuh masa melalui kursus jangka pendek (KJP) bagi memberi peluang kepada lebih ramai pekerja sedia ada dan komuniti setempat termasuk golongan belia, untuk menyertai kursus ini sama ada secara bersemuka dalam talian atau secara hibrid.
“Kesuma komited untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dalam semua sektor ekonomi negara.
“Pendirian Kesuma adalah seiring dengan dasar kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang menetapkan penggajian pekerja asing tidak melebihi 15 peratus daripada guna tenaga negara pada tahun 2025.
“RMK-13 pula telah menetapkan jumlah pekerja asing dikurangkan kepada 10 peratus daripada tenaga pada tahun 2030 dan sehingga 5 peratus pada tahun 2035,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

