KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya, TEKUN Nasional terus memperkukuh sokongan terhadap usahawan mikro di Pulau Pinang menerusi Skim Biaya Ramadan Perniagaan Rakyat (BARAKAT).
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, skim ini merupakan inisiatif pembiayaan yang dirangka khusus untuk membantu peniaga kecil memanfaatkan peluang perniagaan sepanjang bulan Ramadan dan musim perayaan.
Katanya, sehingga 4 Mac, prestasi penyaluran dana di bawah Skim BARAKAT di Pulau Pinang menunjukkan perkembangan yang positif dan memberangsangkan.
“Sebanyak 357 permohonan telah diterima daripada peniaga di negeri ini, dengan jumlah kelulusan setakat ini hampir mencecah RM2.5 juta, mencerminkan permintaan tinggi dalam kalangan peniaga bazar serta perniagaan kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir ke Uptown Bandar Perda baru-baru ini bagi bertemu dan menyantuni para penerima pembiayaan Skim BARAKAT selain meninjau sendiri perkembangan perniagaan di kawasan tersebut.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut menyerahkan cek cura kepada tiga peniaga sebagai simbolik penyaluran pembiayaan Skim BARAKAT.
Antara penerimanya ialah Mohd Rahim Ibrahim, yang telah menjalankan perniagaan pakaian jeans selama 11 tahun.
Beliau memperoleh pembiayaan RM30,000 yang akan digunakan untuk
memperkukuh bekalan stok sempena musim perayaan.
Sementara itu, Moktar bin Daud, yang telah mengendalikan perniagaan cermin mata selama 20 tahun, turut menerima pembiayaan RM30,000.
Dana tersebut akan dimanfaatkan untuk menambah stok dan memenuhi permintaan pelanggan menjelang Syawal.
Mengulas lanjut, Steven Sim turut memberikan jaminan bahawa KUSKOP dan TEKUN Nasional akan memastikan proses birokrasi diminimumkan.
Katanya, penyaluran dana akan dipercepatkan untuk memastikan mereka dapat memanfaatkan peluang perniagaan sepanjang bulan Ramadan dan Syawal yang bakal tiba.
“Di bawah Skim BARAKAT, pembiayaan sehingga RM30,000 ditawarkan dengan kadar keuntungan tiga peratus setahun dan tempoh pembiayaan sehingga 12 bulan.
“Pemohon dikecualikan daripada simpanan, namun caruman PERKESO adalah diwajibkan,” katanya.
Steven Sim menambah, permohonan bagi skim ini akan dibuka sehingga 15 Mac ini.
Katanya, peniaga yang memerlukan diseru supaya merebut peluang ini dan memohon sebelum tarikh tutup.
Jelas beliau, skim itu terbuka kepada Bumiputera dan warga Malaysia berumur antara lapan hingga 65 tahun.
Menurutnya, usahawan TEKUN sedia ada juga layak memohon tertakluk kepada syarat jumlah keseluruhan pembiayaan tidak melebihi RM100,000.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

