PENYANYI Azharina Azhar menjadi tumpuan apabila berani menyuarakan pandangannya mengenai isu-isu kritikal yang dihadapi oleh negeri kelahirannya, Sabah, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 29 November ini.
Menurut Azharina kenyataan itu bukanlah dibuat dari sudut politik, sebaliknya luahan jujur sebagai anak Sabah yang melihat sendiri isu sosial di negeri kelahirannya.
“Masa itu saya ditanya oleh wartawan, ‘kalau Kak Nina (Azharina) jadi Menteri, apa yang Kak Nina buat dulu?’
“Saya jawab terus terang sebagai orang Sabah, bukan sebagai ahli politik. Isu pertama yang saya sentuh ialah masalah pendatang tanpa izin (PTI) yang ramai boleh lihat sendiri di beberapa kawasan di Sabah,” katanya kepada URTV ketika ditemui pada majlis pelancaran single Biar Gambar Bicara duet bersama Nana Karia di ibu kota, semalam.

Katanya, sesiapa yang pernah berkunjung ke Sabah pasti pernah melihat situasi gelandangan, aktiviti meminta sedekah dan masalah sosial di kawasan tertentu yang memberi imej kurang baik kepada masyarakat tempatan dan pelancong.
“Siapa yang pernah datang Sabah, mesti pernah nampak. Kita juga lihat masalah sosial seperti hisap gam di tepi jalan.
“Ia bukan cerita direka…semua orang boleh nampak di media sosial,” luahnya.
Orang muda mahukan perubahan
Selain isu PTI, Azharina atau mesra disapa Nina itu turut menyentuh soal kebersihan serta masalah utiliti seperti elektrik dan air yang menurutnya sudah berlarutan puluhan tahun.
“Ini bukan benda baharu. 60 tahun lebih pun masih sama.
“Kita sebagai orang muda mahukan perubahan. Saya bercakap sebagai rakyat biasa, bukan wakil rakyat,” jelasnya.
Tegasnya, kenyataan yang dibuat itu adalah atas dasar rasa sayang terhadap negeri Sabah dan berharap pihak yang bakal dipilih pada pilihan raya nanti benar-benar menjalankan tanggungjawab.
“Saya cuma harap orang Sabah pilih calon yang buat kerja dan mampu memajukan negeri.
“Saya nak tengok perubahan dari segi sosial, bukan hanya banyak pusat beli-belah atau kedai.
“Masalah sampah, kebersihan, isu PTI, penipuan hasil laut…semua ini perlu diberi perhatian,” tegasnya.
Nina turut menekankan Sabah memiliki banyak sumber berharga yang sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk pembangunan negeri.
“Kami orang Sabah sangat bangga dengan negeri kami. Kita ada banyak ‘resources’, tapi kenapa masih antara negeri termiskin di Malaysia? Itu soalan yang patut kita fikir.
“Saya tidak ada niat apa-apa. Saya cuma anak Sabah yang mengharapkan perubahan yang baik untuk negeri sendiri,” katanya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

