JABATAN Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran awal tsunami di empat kawasan pantai di Sabah susulan gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 yang melanda Mindanao, Filipina pada pukul 7.37 pagi tadi.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dalam kenyataan memaklumkan, tsunami setinggi 0.4 meter dijangka melanda kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara pukul 10.30 pagi hingga 12 tengah hari ini.
Beliau berkata, siren nasihat tsunami telah dibunyikan di keempat-empat lokasi tersebut.
Menurut Arthur, ia sebagai langkah kesiapsiagaan dan amaran awal kepada penduduk di kawasan terlibat.
“Mengambil kira situasi semasa, saya ingin memberikan penekanan serius kepada seluruh masyarakat khususnya penduduk di kawasan pantai sekitar Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu agar kekal tenang dan jangan panik.
“Pihak kerajaan melalui METMalaysia dan agensi keselamatan sedang memantau situasi ini secara rapi dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Arthur turut menggesa semua penduduk di kawasan terlibat untuk memberikan kerjasama penuh dan serta-merta mematuhi segala arahan evakuasi atau keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.
Menurut beliau, perkara itu penting demi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini.
Pada masa sama, Arthur turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan diri daripada mendekati kawasan pantai dalam tempoh masa yang dinyatakan demi keselamatan diri dan keluarga.
“METMalaysia akan terus memantau dengan teliti sebarang perkembangan berhubung aktiviti gempa susulan serta risiko tsunami dan akan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.
“Orang awam diingatkan agar tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu yang boleh mencetuskan kegusaran awam.
“Sila dapatkan maklumat cuaca dan gempa bumi terkini yang sahih melalui saluran rasmi iaitu di laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi METMalaysia atau menghubungi talian Hotline 1300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut,” jelas beliau.
Terdahulu, METMalaysia melaporkan satu gempa bumi kuat telah berlaku di Mindanao, Filipina pada pukul 7.37 pagi tadi.
Gempa bumi bermagnitud 7.9 itu melanda Mindanao berpusat di lokasi dengan koordinat 5.7 darjah utara dan 125.1 darjah timur.
Gempa tersebut berlaku kira-kira 97 kilometer selatan Koronadal City dengan kedalaman 50 kilometer.
Gegaran turut dilapor dirasai di Tawau, Semporna dan kawasan sekitarnya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

