SEBANYAK 17 kes kesalahan melibatkan Jalur Gemilang telah disiasat sepanjang tahun ini sehingga Oktober lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa memaklumkan, kesemua kes tersebut disiasat di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) 1963 (Akta 414).
Menurut Zaliha, Pulau Pinang merekodkan kesalahan tertinggi melibatkan Jalur Gemilang iaitu sebanyak lima kes.
Beliau berkata, ia diikuti masing-masing sebanyak empat kes di Johor dan Selangor.
“Sebanyak dua kes telah disiasat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur manakala masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Perak.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak lima kes telah diselesaikan dan 12 kes lagi masih dalam siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Baca artikel lain: MPV pasang Jalur Gemilang terbalik di Pontian, Polis buka kertas siasatan
Beliau menjawab soalan Chiew Choon Man (PH-Miri) berhubung tindakan yang diambil terhadap kesilapan pemaparan Jalur Gemilang dan sama ada tindakan sama akan diambil untuk agensi awam yang turut melakukan kesilapan yang sama.
Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, kawalan bagi penggunaan Jalur Gemilang boleh dikuatkuasa antaranya melalui Akta 414 yang termaktub kawalan penggunaan ‘nama ternyata’ dan ‘lambang ternyata’.
Katanya, pelanggaran terhadap Seksyen 3 Akta 414 akan dikenakan penalti boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 5 Akta 414.
“Kerajaan dari semasa ke semasa berusaha untuk meningkatkan kesedaran dan informasi kepada masyarakat berhubung Jalur Gemilang.
“Ia bukan sahaja kepada individu tetapi terhadap agensi-agensi kerajaan, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan atau pun pihak swasta,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

