PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 esok bakal menjadi paling sengit dengan tiada mana-mana parti atau gabungan dijangka memperoleh majoriti mudah daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Keadaan itu sekali gus akan menjadikan DUN tergantung dengan ‘kerjasama’ antara parti menjadi penentu pembentukan kerajaan.
Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali berpandangan tumpuan terarah kepada tiga gabungan atau parti utama yang bertanding di PRN Sabah iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Barisan Nasional (BN) dan Warisan.
Beliau berkata, tiga parti itu dijangka mendominasi kebanyakan kerusi dalam PRN tersebut.
Bagaimanapun, kata beliau, dominasi GRS, BN dan Warisan itu dijangka tidak dapat memperoleh lebih daripada 20 kerusi.
“Walaupun kita tengok kali ini banyak parti bertanding termasuk calon Bebas tetapi parti yang dilihat ke hadapan adalah GRS, BN dan Warisan.
“Pakatan Harapan (PH) pula walaupun hanya bertanding di 22 kerusi tetapi turut menjadi antara tumpuan.
“Saya lihat ada kemungkinan tak ada mana-mana parti memperoleh majoriti mudah tetapi mungkin ada kompromi antara parti-parti yang menang.
“Ada kemungkinan BN, PH dan GRS boleh membentuk kerajaan tetapi tak mustahil Warisan akan sertai untuk membentuk kerajaan,” katanya kepada UtusanTV hari ini.
Baca artikel lain: Keputusan penuh PRN Sabah diketahui sekitar 12 tengah malam
Mengulas lanjut, Mazlan berkata, Perikatan Nasional (PN) juga dijangka boleh memberi sedikit kejutan tetapi tanpa kerjasama dengan parti tempatan, gabungan itu mungkin sukar memperoleh banyak kerusi.
Menurut Mazlan, faktor pengundi muda turut memainkan peranan penting untuk menentukan kemenangan di setiap DUN.
Pada masa sama, beliau berkata, keputusan PRN Sabah sangat signifikan kerana ia boleh mempengaruhi dinamik parti-parti yang membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.
“Saya lihat keputusan PRN Sabah ini penting kerana ia dilihat akan mempengaruhi tempo politik di Semenanjung.
“Sebagai contoh, walaupun Warisan menyertai kerajaan di peringkat Persekutuan tetapi di Sabah, parti itu adalah pembangkang.
“Sekiranya Warisan mampu membentuk kerajaan di Sabah, menarik untuk dilihat jika mereka akan terus kekal dengan Kerajaan MADANI di peringkat Persekutuan,” katanya.
Seramai 1.786 juta pengundi, termasuk kira-kira 662,000 pengundi baharu, layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRN Sabah, esok.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

