
BAHANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 telah pun sampai ke kemuncaknya apabila Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah buat penggal kedua.
Hajiji, 70, mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dalam istiadat di Istana Seri Kinabalu, kira-kira pukul 3.05 pagi, Ahad lalu.
Ia selepas proses perjalanan PRN Sabah ke-17 berakhir secara rasmi pada pukul 2.05 pagi.
Seperti dijangka, tiada mana-mana parti atau gabungan memperoleh majoriti mudah iaitu 37 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bagaimanapun, GRS menjadi gabungan memenangi kerusi terbanyak dengan 29 kerusi.
Ini diikuti Parti Warisan yang memperoleh 25 kerusi manakala Barisan Nasional (BN) mendapat enam kerusi.
Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) pula meraih tiga kerusi sementara Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) (dua).
Sementara itu, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing memenangi satu kerusi, manakala calon Bebas menang di lima kerusi.
Biarpun hanya memenangi 29 kerusi DUN, GRS berjaya mengumpul sokongan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri melebihi angka majoriti mudah 37 kerusi.
Sokongan itu diperoleh daripada beberapa parti lain termasuk Bebas, BN, UPKO dan PH.
PRN Sabah kali ini turut mencatatkan beberapa kejutan apabila nama-nama besar kecundang di kerusi masing-masing.
Ia termasuk bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang tewas di kerusi DUN Usukan dan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang sekali lagi gagal mengatasi penyandang kerusi DUN Pintasan iaitu Datuk Fairuz Renddan.
Namun begitu, kejutan terbesar pada PRN Sabah kali ini adalah kegagalan ‘parti-parti Malaya’ untuk bertapak di Negeri di Bawah Bayu.
Paling mengejutkan adalah kegagalan DAP di kerusi kubu kuat mereka di kawasan majoriti masyarakat Cina.
Daripada lapan kerusi yang ditandingi parti itu, satu pun tidak berjaya dimenangi parti itu.
Lapan kerusi yang ditandingi DAP termasuk enam DUN yang disandang parti berkenaan iaitu Luyang, Kapayan, Likas, Tanjong Papat, Elopura serta Sri Tanjong manakala dua lagi adalah dua kerusi baharu iaitu Tanjung Aru dan Kemabong.
Perkara sama terjadi kepada parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu PKR yang hanya memperoleh satu kerusi menerusi Datuk Jamawi Jaafar di kerusi DUN Melalap.
Daripada 14 kerusi yang dimenangi BN dalam PRN Sabah ke-16 pada tahun 2020 pula, gabungan itu hanya mampu memperoleh enam kerusi kali ini.
Jelas, keputusan PRN Sabah, Sabtu lalu menyaksikan majoriti pengundi telah bersatu hati menyokong parti-parti tempatan dan menolak ‘parti Malaya’.
Sentimen ‘Sabah for Sabahan‘ yang banyak dilaungkan sewaktu tempoh kempen memberi kelebihan kepada parti-parti tempatan yang lebih dominan.
Perubahan sangat ketara dalam landskap politik Sabah juga dapat dilihat dari segi pola pengundian kali ini.
Baca artikel lain: PRN Sabah: Ada beberapa muka yang sepatutnya sudah bersara
Angin perubahan dalam kalangan pengundi menyaksikan majoriti kali ini lebih melihat kepada kualiti dan keperibadian calon yang bertanding.
Ia dapat dilihat apabila lima calon Bebas iaitu di DUN Bandau; Pintasan; Petagas; Tulid dan Kukusan berjaya menewaskan calon lain terutama daripada parti-parti utama yang mempunyai kewangan dan jentera lebih besar.
Bahkan, tiga daripada lima calon Bebas itu merupakan penyandang kerusi masing-masing iaitu Fairuz di DUN Pintasan; Datuk Awang Ahmad Sah Sahari di Petagas dan Rina Jainal di Kukusan.
Situasi itu membuktikan pengundi di kawasan-kawasan tersebut berpuas hati dengan perkhidmatan wakil rakyat mereka dan mahu diteruskan sekurang-kurangnya untuk satu penggal lagi.
Kredibiliti calon itu juga membuatkan Pas akhirnya berjaya bertapak di Sabah menerusi Datuk Dr Aliakbar Gulasan di DUN Karambunai.
Di peringkat nasional, mungkin nama Pesuruhjaya Pas Sabah itu kurang dikenali, namun keperibadiannya di Karambunai amat disenangi pengundi.
Mesej yang terang dan jelas telah dihantar pengundi Sabah terutama buat parti-parti politik utama tanah air bahawa rakyat mahukan perubahan dan kestabilan, bukan lagi janji kosong.
Sama ada gelombang itu akan diteruskan di beberapa lagi pilihan raya akan datang atau tidak, masih belum lagi diketahui.
Keputusan itu sememangnya menjadi wake-up call terbesar buat ‘gergasi-gergasi’ politik untuk berkhidmat dengan setulus hati kepada rakyat, bukan agenda peribadi.
Afiq Mohd Shah ialah Penolong Pengarang Berita UtusanTV
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

