Terima cincin 6 minggu lalu, Erra Fazira sahkan sudah dirisik Mr E, pilih tarikh 12 Disember ini tamatkan status ibu tunggal

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

SELEPAS 11 tahun hidup sebagai ibu tunggal, penyanyi dan pelakon, Erra Fazira akhirnya membuka lembaran baharu apabila mengesahkan dirinya sudah dirisik oleh jejaka pilihan hati, Ezwan Zain atau lebih dikenali sebagai Mr E dalam satu majlis sederhana kira-kira enam minggu lalu.

Erra atau nama lengkapnya Fazira Wan Chek, 51, menerima sebentuk cincin emas sebagai tanda hubungan yang bakal dibawa ke fasa pernikahan pada 12 Disember ini, sekali gus mengesahkan pertemuan dua keluarga telah pun berlangsung lebih awal daripada pengumuman rasminya.

“Pertemuan keluarga diadakan dalam suasana ringkas, dan saya menerima cincin sebagai tanda,” katanya kepada URTV ketika ditemui pada majlis pelancaran video muzik Cinta Abadi 2025 di sebuah hotel di Puchong, petang tadi.

Tambah bintang filem Sembilu itu, keputusan untuk mendirikan rumah tangga sebenarnya sudah dicapai sejak Jun lalu.

“Sejak Jun lalu, kami sama-sama sepakat untuk melangkah ke fasa perkahwinan,” jelasnya.

Dalam pertemuan bersama media, Erra tidak mampu menahan sebak apabila menyampaikan berita bahagia itu, sambil memaklumkan pernikahan kali ini turut mendapat restu anak perempuannya, Engku Aleesya, serta anak Mr E.

“Kedua-dua anakanda kami, Sofea dan Aleesya, merestui keputusan kami dan mereka sangat positif memberi sokongan.

“Aleesya pun sudah berusia 16 tahun, semuanya difikirkan dengan baik,Itu yang paling melegakan,” kongsinya.

Aleesya merupakan anak hasil perkahwinan Erra terdahulu bersama Engku Emran, manakala Mr E juga mempunyai seorang anak daripada perkahwinan sebelum ini.

Mengulas keputusan untuk berkahwin selepas lama hidup solo, Erra menegaskan ia bukanlah kerana terdesak mencari pasangan, tetapi kerana fitrah manusia yang inginkan peneman hidup apabila memasuki fasa usia matang.

“Kalau tunggu yakin, akan selalu rasa takut. Tambahan pula saya memang sudah selesa hidup sendirian.

“Mr E pun begitu… dia sudah solo lapan tahun. Kami masing-masing selesa. 

“Tapi akhirnya, sebagai manusia, kita mahu ada teman berbual, bercerita dan berkongsi rasa di hari tua,” katanya.

Menurutnya lagi, keputusan itu dibuat setelah melalui perbincangan panjang dan pertimbangan yang matang.

“Kami bukan terdesak mencari pasangan, tetapi memikirkan jangka masa panjang untuk berteman dan menjadi kawan bicara kelak,” ujarnya.

Erra turut menzahirkan harapan agar perkahwinan dengan Mr E menjadi yang terbaik dan penutup paling indah dalam perjalanan hidupnya.

“Saya harap perkahwinan ini yang terindah, dan penutupnya,” luahnya.

Sebelum ini, hubungan Erra dan Mr E mula dihidu sejak Januari lalu apabila Erra memuat naik ucapan romantis buat jejaka tersebut di media sosial.

Untuk rekod, Erra pernah mendirikan rumah tangga dengan Engku Emran pada 25 Oktober 2007 sebelum bercerai pada 18 Februari 2014.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Engku Aleesya yang kini berusia 16 tahun. 

Erra pernah berkahwin dengan penyanyi Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003, namun bercerai pada 2006. Erra bagaimanapun tidak dikurniakan cahaya mata ketika bersama Yusry.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Karyawan tuntut kerajaan ambil alih kutipan royalti, mahu tamatkan kemelut 2 dekad

PERSATUAN Artis Malaysia (Karyawan) secara rasmi menuntut Kerajaan Malaysia untuk campur tangan dan mengambil alih kawalan sepenuhnya ke atas...

More Articles Like This