KERAJAAN berjaya menyediakan 511,544 unit Rumah Mampu Milik (RMM) melepasi sasaran 500,000 unit ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pencapaian itu adalah setakat 30 September lepas yang merangkumi unit RMM telah siap, sedang dalam pembinaan dan telah memperoleh kelulusan merancang.
“Pencapaian ini antara yang memberangsangkan. Belum pernah ada kerajaan terdahulu berjaya mencapai sasaran ditetapkan.
“Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi kerajaan pertama mencipta sejarah bukan sahaja mencapai, tetapi melepasi sasaran membina 500,000 unit RMM.
“Lima mekanisme reformasi utama termasuk Perjanjian Jual Beli Secara Elektronik (eSPA), Sistem Pengurusan Berintegrasi Perumahan (HIMS) serta audit Akaun Pemajuan Perumahan (HDA). Saya yakin tiada lagi projek perumahan terbengkalai menjelang 2030,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sentuhan Kejayaan KPKT 2025 dan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Vista Tiara Johor Bahru di Vista Tiara Danga Bay, hari ini.
Baca artikel lain: TUDM beri keutamaan kepada penggantian aset usang – Menteri Pertahanan
Kor Ming berkata, antara negeri paling banyak dibina RMM ialah Selangor dan Johor kerana mengikut keperluan manakala KPKT telah menyelamatkan 1,333 projek sakit serta terbengkalai, melibatkan hampir 160,000 unit rumah di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun.
“Kadar pemilikan rumah bagi keluarga Malaysia kini berada pada 76.5 peratus, menunjukkan tahap kestabilan sosial dan ekonomi yang semakin kukuh,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Kor Ming berkata kementeriannya meluluskan RM82 juta untuk pembinaan Program Residensi Rakyat (PRR) pertama di Johor, yang akan dibangunkan di Larkin.
Beliau berkata projek itu berkonsepkan pembangunan bersepadu dan berperanan sebagai rumah transit untuk anak muda, dengan pengurusan akan dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ).
“Di kawasan itu, sewa tiga bilik biasanya kira-kira RM2,000, namun kerajaan menetapkan kadar RM600 untuk unit tiga bilik dan RM200 untuk unit satu bilik bagi membantu anak muda yang baru bekerja atau baru berkahwin,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

