TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) memberi keutamaan kepada penggantian aset usang dan pembinaan keupayaan asas yang lebih moden serta bersepadu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, melalui tujuh program perolehan strategik, TUDM menetapkan sasaran bagi menutup jurang keupayaan kritikal, memperkukuh penguasaan ruang udara, serta meningkatkan keberkesanan operasi.
Katanya, program tersebut merangkumi Maritime Patrol Aircraft (MPA); Medium Altitude Long Endurance UAS (MALE-UAS); Fighters Lead-In Trainer-Light Combat Aircraft (FLIT-LCA); Long Range Air Defence Radar; Utility Helicopter; Multi-Role Combat Aircraft (MRCA) F/A-18C, dan Medium Range Air Defence Missile System (MERAD).
“Kementerian Pertahanan sentiasa memberikan perhatian yang serius terhadap kesiapsiagaan pertahanan udara, kerana ia merupakan komponen sangat kritikal dalam keseluruhan sistem pertahanan tanah air.
“Sehubungan itu, usaha pemodenan aset pertahanan udara sedang giat dilaksanakan agar selari dengan perkembangan teknologi semasa dan perubahan landskap keselamatan, sekali gus memastikan keupayaan negara tidak ketinggalan,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff yang meminta Menteri Pertahanan menyatakan pelan pemodenan kepada aset pertahanan udara negara yang semakin usang pada waktu ini bagi memastikan tahap kesiapsiagaan (TUDM) di tahap tertinggi.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM (CAP55) merupakan pelan transformasi jangka panjang TUDM yang dilaksanakan dari 2021 hingga 2055.
Katanya, dalam tempoh itu, CAP55 berfungsi sebagai hala tuju utama pemodenan aset pertahanan udara negara bagi memastikan TUDM kekal berada pada tahap kesiagaan tertinggi dan mampu menangani sebarang ancaman semasa serta masa hadapan.
“Kita berharap dengan perolehan-perolehan yang telah dirangka itu, maka ia akan memenuhi sasaran fasa 1 dan pada akhirnya memenuhi peranan kita untuk memastikan kita dapat menguasai pertahanan udara negara kita,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

