Keedsflix, sebuah organisasi pendidikan awal kanak-kanak Islamik terus perkukuh ekosistem pendidikan Islamik digital negara dengan melancarkan ibu pejabat (HQ) baharu di Puncak Alam, Selangor, sekali gus meraikan pencapaian membanggakan dengan kewujudan lebih 300 cawangan di seluruh negara.
Pengasas Keedsflix, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor berkata, majlis GLANCE (Grand Launching New HQ & 300 Centre Celebration) itu menandakan satu fasa baharu pengukuhan jenama Keedsflix sebagai peneraju pendidikan awal kanak-kanak Islamik berteraskan pendekatan holistik, nilai Al-Quran dan teknologi digital.

“Pelancaran HQ baharu ini bukan sekadar simbol pertumbuhan fizikal, malah menjadi pusat sokongan strategik bagi menampung skala operasi yang semakin meluas.
“Pencapaian 300 cawangan ini telah melahirkan seramai 8,550 pelajar, disokong oleh 810 tenaga pengajar serta mewujudkan 300 usahawan pendidikan yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan rakan strategik, para guru dan komuniti ibu bapa di seluruh Malaysia,” katanya.
HQ baharu Keedsflix itu dilengkapi kemudahan latihan guru, sistem sokongan digital serta modul standard yang komprehensif bagi memastikan kualiti pendidikan yang seragam di semua cawangan.
Pada majlis sama, Keedsflix turut mengumumkan beberapa inisiatif strategik utama antaranya ialah pemerkasaan Modul Keeds Mandarin yang akan dikuatkuasakan sepenuhnya bermula 1 Januari 2026 di semua cawangan.

Modul itu memperkenalkan asas Bahasa Mandarin kepada kanak-kanak prasekolah, sekali gus memberikan kelebihan penguasaan bahasa ketiga sejak usia awal. Menariknya, modul tersebut diajar oleh guru Melayu Keedsflix yang menjalani latihan intensif selama tiga bulan serta lulus ujian kelayakan khusus.
Selain itu, Keedsflix turut merasmikan Portal Digital e-KQA (Keedsflix Quranic Academy) yang menyediakan kandungan video pembelajaran Al-Quran berasaskan Modul Keeds Quranic.
Pendekatan sistematik dan menyeronokkan itu membantu kanak-kanak menghabiskan bacaan Al-Quran seawal usia lima dan enam tahun, selaras dengan tahap perkembangan mereka.
Keedsflix juga melancarkan Siri Animasi Pendidikan Keedsflix yang menampilkan watak Islamik Aisyah dan Noah. Siri animasi itu dibangunkan sebagai solusi ‘screen time’ yang bermanfaat dengan menggabungkan visual menarik, audio mesra kanak-kanak serta nilai akhlak Islamik bagi membentuk karakter anak-anak sejak kecil.

Satu lagi inisiatif penting ialah projek usahasama Keedsflix bersama Universiti Sains Malaysia (USM) dan SmartSens.Q, yang memfokuskan pembangunan modul pembelajaran Al-Quran untuk kanak-kanak Autism Spectrum Disorder (ASD). Projek perintis itu menggunakan pendekatan multisensori yang menggabungkan elemen visual, bunyi dan sentuhan, sekali gus membuka lembaran baharu dalam pendidikan awal Islamik inklusif di Malaysia.
Sheikh Muszaphar turut menyifatkan pencapaian tersebut sebagai satu kejayaan besar hasil usaha kolektif seluruh ekosistem Keedsflix.

“Saya amat berbangga apabila Keedsflix kini mencapai 307 cawangan dalam tempoh hanya tiga tahun. Pendekatan Islamik Quranik dan teknologi telah berjaya melahirkan anak-anak yang berani, kreatif, berketerampilan serta beradab. Impian saya untuk melihat kanak-kanak khatam Al-Quran seawal usia lima dan enam tahun kini menjadi realiti,” katanya.
Ditubuhkan pada tahun 2020 ketika negara berdepan cabaran pandemik, Keedsflix berkembang pesat melalui pendekatan pendidikan berasaskan kasih sayang, teknologi dan silibus tersusun selari dengan garis panduan KSPK dan PERMATA, serta pelaksanaan Kurikulum Prasekolah 2026 bermula tahun hadapan.
Dengan sokongan lebih 5,000 keluarga Muslim, Keedsflix kini memiliki lebih 300 cawangan di seluruh negara serta mewujudkan hampir 10,000 peluang pekerjaan dalam industri pendidikan awal.

