WANITA yang ditemukan maut dalam sebuah beg dipercayai telah dibunuh di sebuah rumah di Ampang, Selangor sebelum mayatnya ditanam di Kampung Batu 4, Pedas, Rembau.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar seperti dilapor Bernama.
Menurut Muhammad Idzam, siasatan mendapati wanita itu telah dicekik di rumah mangsa di Ampang.
Beliau berkata, ia selepas berlaku pertengkaran dengan suspek yang berusia 51 tahun.
“Pergaduhan berpunca daripada isu kewangan. Siasatan lanjut masih dijalankan.
“Setakat ini, mayat wanita itu masih belum dituntut kerana identitinya masih tidak dapat disahkan kerana menunggu hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA),” katanya.
Setakat ini polis menahan dua lelaki berkait kes itu termasuk suspek utama untuk siasatan, dan belum ada sebarang tangkapan baharu.
Baca artikel lain: Mayat wanita dalam beg: Suspek utama direman tujuh hari
Suspek pertama berusia 41 tahun ditahan jam 2.30 petang Khamis lalu di Melaka sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret Tampin dan dibenarkan direman tujuh hari sehingga 25 Disember ini
Polis kemudian menahan suspek kedua yang juga suspek utama, seorang lelaki berusia 51 tahun di Genting Sempah di pahang pada Jumaat lalu.
Hakim Mahkamah Majistret Seremban, Majistret Nurul Farha Sulaiman, membenarkan suspek direman tujuh hari sehingga 26 Disember ini untuk siasatan lanjut.
Sebelum ini, media melaporkan mayat wanita yang ditemui di luar kawasan sebuah rumah kosong di Kampung Batu 4, Pedas, Rembau, Khamis lalu disyaki berkait kes orang hilang yang dilaporkan di daerah Ampang, Selangor pada 15 Disember lalu.
Terdahulu, dilaporkan polis meminta bantuan orang ramai mengesan seorang usahawan wanita dikenali sebagai Suri Narudin, 53, yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember lalu.
Media sebelum ini turut melaporkan suspek utama dalam kes ini adalah suami kepada Suri, namun keluarga wanita itu menafikan dan mendakwa lelaki itu hanyalah kekasihnya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

