PAS melihat sebarang usaha atau percubaan untuk menempatkan kuasa dan budi bicara pengampunan Diraja di bawah kawalan kehakiman atau birokrasi, berpotensi besar untuk menceroboh ketetapan Perlembagaan mengenainya.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas akur bahawa keputusan-keputusan badan kehakiman hendaklah sentiasa dihormati sebagai antara tonggak utama kedaulatan undang-undang.
Namun, katanya, ia tidaklah sehingga menafikan hak dan kebebasan untuk bersuara dan memberi pendapat yang juga dijamin oleh Perlembagaan.
Jelas beliau, ia terutama berkaitan keputusan mahkamah yang kelihatan melemahkan, menafsir semula atau mengetepikan kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan secara eksplisit dan eksklusif kepada Yang Di-Pertuan Agong, Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri.
“Umum memahami di bawah Perkara 42, Perlembagaan Persekutuan, kuasa untuk memberi pengampunan, menangguhkan atau mengurangkan hukuman adalah merupakan kuasa budi bicara Yang Di-Pertuan Agong, Raja-raja dan Yang Di-Pertua Negeri.
“Ia adalah kuasa eksekutif yang dijalankan melalui Lembaga Pengampunan dan tidak tertakluk kepada persetujuan kehakiman, sokongan pentadbiran atau penerimaan politik,” katanya dalam kenyataan.
Baca artikel lain: Namewee dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan ambil dadah
Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk menolak permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman penjara yang dihadapinya menerusi tahanan di rumah berikutan Titah Addendum yang dikeluarkan oleh Yang Di-Pertuan Agong Ke-16.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, Pas percaya apa-apa keputusan, arahan atau petunjuk yang dibuat oleh Yang Di-Pertuan Agong dalam menjalankan kuasa budi bicaranya di bawah peruntukan tadi adalah jelas berada dalam kerangka Perlembagaan.
Justeru, katanya, sesuatu kekaburan pentadbiran, kehilangan dokumentasi, pendedahan yang bertangguh atau pengakuan yang berpilih-pilih tidak boleh sama sekali digunakan untuk meneutralkan, menangguhkan atau mempersoalkan kesahihan tindakan Di-Raja.
Menurut Takiyuddin, perbuatan sedemikian hanya akan menghakis dan merendahkan wibawa, kedaulatan dan kedudukan Raja-raja seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan.
“Oleh itu Pas dengan tegas berpandangan Isu Addendum yang merupakan sebahagian keputusan langsung Yang Di-Pertuan Agong Ke-IV mestilah diterima, dilaksanakan dan diberikan kuat kuasa undang-undang secara serta-merta tanpa bantahan kehakiman atau pentadbiran seperti mana yang berlaku dalam kes pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018.
“Perlu ditegaskan bahawa prinsip-prinsip Perlembagaan tidak boleh sama sekali dilaksanakan secara selektif mengikut keperluan politik atau individu yang berbeza.
“Perlembagaan tidak menerima hirarki atau kelas dalam kalangan rakyat terutama dalam menjalankan kuasa pengampunan Di-raja. Kewujudan persepsi berlakunya layanan yang tidak setara pastinya akan merosakkan kepercayaan awam terhadap sistem pemerintahan yang terbina berdasarkan Perlembagaan dan undang-undang,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

