BIDUANITA negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi rasa sedih dan terkejut apabila mengetahui seorang peminatnya, Mohd Fadzil kini berada dalam keadaan kritikal selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat komplikasi serius tekanan darah tinggi.
Siti atau Siti Nurhaliza Tarudib,46, berkata, Mohd Fadzil antara individu yang sangat setia menyokong perjalanan seninya sejak sekian lama dan sering hadir ke mana sahaja dia berada.
“Dia antara peminat yang ke mana saja saya pergi, saya akan nampak muka dia.
“Dalam apa keadaan pun, dia sentiasa menyokong saya.
“Keadan dia agak serius dan dirawat di ICU akibat pembuluh darah pecah disebabkan tekanan darah tinggi,” katanya kepada URTV.
Siti berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza di Menara Kuala Lumpur, petang tadi.
Tambah penyanyi lagu Biarlah Rahsia itu, sebaik mendapat tahu Mohd Fadzil dimasukkan ke wad kecemasan sebelum dipindahkan ke ICU, dia mengambil kesempatan untuk menziarahinya meskipun mempunyai komitmen kerja pada hari tersebut.
“Sebelum dia masuk ICU, dia di wad kecemasan. Kebetulan hari itu saya ada kerja, lepas habis kerja saya cakap dekat suami.
“Alhamdulillah, suami saya izinkan dan memang kenal peminat ini.
“Setiap kali kami ke luar negara, dia akan datang hantar dan sambut di lapngan terbang.
“Manalah saya tak sedih dan tersentuh dengan apa yang berlaku kepadanya,” ujarnya.
Siti mengakui peminat merupakan kekuatan terbesar buat seseorang artis dan pengorbanan yang dilakukan oleh peminat-peminatnya selama ini amat besar serta tidak ternilai.
Justeru, kehadirannya ke hospital hanya untuk memberi semangat kepada peminatnya untuk melawan kesakitan.
“Kalau tak ada sokongan peminat, mungkin saya tak sampai ke tahap sekarang dan tak mampu kekal seperti hari ini.
“Sya harap kehadiran saya itu dapat beri sedikit semangat kepada dia.
“Saya harap walaupun dia tak sedar, mungkin dia boleh dengar. Kehadiran saya sekurang-kurangnya dapat beri semangat,” ujarnya.
Siti turut memaklumkan ramai ahli Sitizoners lain turut hadir menziarahi peminat berkenaan mengikut kesempatan masing-masing sebagai tanda solidariti dan kasih sayang sesama komuniti peminat.
“Saya sangat mengharapkan doa semua pihak supaya ada keajaiban daripada Allah dan semoga Allah permudahkan segala urusan buat dia,” katanya.
Sebelum ini, tular video Siti dilihat sedang menziarahi peminatnya di hospital sekaligus mengundang pujian wargamaya.
Video yang dikongsikan menerusi TikTok Sitizoners itu juga mendapat jutaan tontonan.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

