Selama lebih satu abad, bandar peranginan Beach Haven di hujung selatan Long Beach Island, New Jersey di Amerika Syarikat terkenal sebagai destinasi percutian musim panas. Kawasan in menjadi pilihan untuk orang ramai bercuti mengambil angin laut dan berenang.
Tetapi, ketenangan itu akhirnya dikejutkan dengan satu tragedi berdarah pada musim panas 1916. Ketika itu, kawasan pantai dibanjiri pelancong. Salah seorang daripadanya ialah Charles Vansant, pemuda berusia 25 tahun, seorang broker saham dari Philadelphia.

Pada petang 1 Julai 1916, sejurus tiba di sini dan setelah setelah mendaftar masuk ke hotel, Charles terus menuju ke pantai untuk berenang. Dia masuk ke laut sehingga ke paras dada.
Ketika itulah beberapa orang yang berada di gigi pantai ternampak bayang-bayang gelap bergerak di bawah permukaan air, diikuti sirip hitam yang membelah ombak menuju ke arah Charles.
Jeritan amaran bergema menyuruhnya cepat beredar. Namun Charles tidak memahami apa yang sedang berlaku. Beberapa saat kemudian, suasana bertukar cemas. Charles menjerit apabila diserang jerung. Dia cuba berenang ke darat, namun gagal.
Charles meninggal dunia kurang dua jam kemudian akibat kecederaan parah. Beliau menjadi mangsa pertama dalam siri serangan jerung di New Jersey, serangan pertama direkodkan di bahagian pantai timur Amerika Syarikat.
Walaupun media tempatan melaporkan kejadian tersebut, liputan ketika itu masih terhad. Pesuruhjaya perikanan Pennsylvania, James M. Meehan cuba menenangkan orang ramai dengan menyatakan bahawa insiden itu hanyalah kejadian terpencil dan bukan ancaman sebenar jerung yang menakutkan.
Serangan Berterusan
Belum reda serangan pertama, lima hari kemudian, Charles Bruder, 27, seorang kakitangan hotel berketurunan Swiss telah diserang ketika berenang di pantai. Lokasinya kira-kira 72 kilometer ke utara Beach Haven. Bruder meninggal dunia sebelum sempat dibawa ke darat.
Kejadian kedua itu telah mencetuskan gelombang ketakutan di sepanjang pesisir pantai itu. Akhbar di seluruh negara mula menyiarkan kisah serangan jerung itu dengan tajuk sensasi.
Apa yang sebelum ini dianggap sebagai insiden terpencil kini kelihatan seperti satu pola serangan. Pemilik resort telah mengerahkan bot peronda membuat rondaan, jaring dawai dipasang di beberapa kawasan pantai sebagai usaha besar-besaran untuk meyakinkan pelancong agar kembali ke pantai itu.

Namun, ia belum berakhir. Pada 12 Julai, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, Lester Stillwell, diserang jerung ketika bermain di sungai bersama rakan-rakannya. Beberapa lelaki dewasa terjun membantu kerana menyangka budak itu lemas. Namun tragedi berganda berlaku apabila salah seorang penyelamat, Watson Stanley Fisher, turut diserang jerung dan meninggal dunia. Kejadian tersebut telah meragut dua nyawa sekaligus.
Apa yang mengejutkan, serangan ini berlaku di Matawan Creek, sebatang sungai air tawar. Kedudukannya pula jauh, kira-kira 25 kilometer dari laut. Persoalan utama, bagaimana jerung itu boleh berenang jauh ke dalam sungai tersebut? Dan bolehkah jerung dari laut itu menyerang manusia di air tawar?
Tidak lama kemudian, serangan kelima pula berlaku. Kali ini mangsanya ialah Joseph Dunn yang berusia 14 tahun. Ia berlaku juga di sungai Matawan Creek, lebih kurang 800 meter dari lokasi mangsa ke empat dan kelima diserang.
Berbeza dengan mangsa lain yang terkorban, Dunn terselamat hasil bantuan pantas ahli keluarga dan rakannya. Dia menghabiskan masa beberapa minggu di hospital sebelum pulih sepenuhnya.
Keseluruhannya, lima serangan berlaku dalam tempoh 12 hari yang mengorbankan empat nyawa dan dan seorang mangsa yang terselamat.
Tragedi Pencetus Karya
Serangan jerung ini telah menimbulkan ketakutan besar kepada masyarakat. Kepercayaan lama bahawa jerung tidak membahayakan manusia khususnya di perairan sederhana telah hilang.
Laut yang sebelum itu penuh dan dianggap lokasi permainan musim panas berubah menjadi sepi. Buat pertama kalinya ketika itu, media Amerika menggambarkan jerung sebagai pemangsa ganas, bukan sekadar haiwan laut yang tidak mengganggu manusia.
Komuniti pantai mendesak kerajaan persekutuan mengambil tindakan. Pemburuan jerung dilancarkan, ganjaran ditawarkan dan ratusan jerung ditangkap di sepanjang kawasan pantai timur selepas tragedi serangan tersebut.
Kesan ketakutan kerana serangan 1916 itu berlarutan hingga abad ke-20. Penulis, Peter Benchley mengakui peristiwa tersebut menjadi inspirasi utama novelnya, Jaws (1974), yang kemudian difilemkan oleh Steven Spielberg pada 1975. Filem itu meletup dan menambahkan imej jerung putih sebagai raksasa laut dalam kehidupan manusia.


Sebenarnya, jenis jerung yang melakukan serangan pada 1916 itu tidak pernah dikenal pasti. Apa spesiesnya, adakah jerung yang sama yang menyerang kelima-lima mangsa atau jerung berbeza, tidak ada jawapan tepat. Apa yang ada hanya teori popular termasuk jerung putih besar dan jerung jenis bull shark.
Apa pun spesiesnya, serangan tahun 1916 itu telah mengubah cara dunia melihat jerung. Kajian saintifik mengenai tingkah laku jerung mula diberi perhatian serius yang membentuk asas penyelidikan moden terhadap pemangsa laut ini.
Menurut International Shark Attack File (ISAF), secara purata 80 serangan jerung tanpa provokasi berlaku setiap tahun di seluruh dunia, dengan sekitar 7 hingga 8 kematian. Amerika Syarikat merekodkan lebih 1,100 serangan dan 37 kematian antara tahun 1958 hingga 2023.
Fakta Tambahan
Jerung boleh berenang jauh ke dalam sungai dan menyerang manusia di dalam air tawar. Namun, hanya spesies tertentu saja yang boleh melakukannya. Dalam kes serangan di sungai Matawan Creek pada 1916, dikatakan yang menyerang itu ialah spesies jerung bull shark. Ini kerana hanya jerung spesies itu yang mampu hidup lama dalam air tawar kerana kemampuannya mengawal keseimbangan garam (osmoregulasi) dalam badannya.

__
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

