PADA era 1950-an, bandar pesisir pantai di Afrika Selatan, Durban merupakan tempat peranginan yang terunggul di benua Afrika. Lokasinya yang strategik menghadap Lautan Hindi telah menjadikan Durban antara destinasi pelancongan yang terkenal ketika itu.
Pemandangan pantai keemasan telah menggamit jutaan pelancong untuk berlibur dan menikmati keindahan alam di kota Durban. Statistik menunjukkan lebih tiga juta pengunjung datang ke bandar pinggiran pantai ini setiap tahun. Kebanyakannya adalah pelancong dari benua Eropah yang ingin melarikan diri dari kedinginan musim salji.

Sektor pelancongan adalah penyumbang utama kepada kemajuan ekonomi kota Durban. Lebih 80 peratus penduduknya bergantung harap kepada industri ini. Atas kapasiti itulah, Durban telah diiktiraf antara lokasi pelancongan paling selamat di dunia ketika itu.
Namun, pada 18 Disember 1957, kota Durban telah dikejutkan dengan siri serangan jerung yang telah membunuh seorang remaja lelaki berusia 16 tahun, Robert Wherley. Beliau terbunuh akibat pendarahan yang teruk selepas kakinya putus digigit jerung.
Dua hari selepas itu, seorang remaja perempuan, Allen Green turut mengalami nasib serupa. Green terbunuh akibat serangan jerung ketika bermandi-manda hanya pada kedalaman paras pinggang sahaja.
Menjelang tahun baru, satu lagi siri kejadian serangan jerung telah dilaporkan. Seorang gadis bernama Julia dikatakan telah diserang berkali-kali oleh sekumpulan ikan bersaiz besar. Gadis tersebut terselamat, tetapi kedua-dua lengannya hilang akibat insiden itu.
Seminggu kemudian, dua lagi kematian akibat serangan jerung telah dicatatkan. Insiden kali ini melibatkan lelaki dewasa bernama Vernon Berry dan Deryck Prinsloo. Apa yang membimbangkan ialah kesemua serangan tersebut berlaku pada paras kedalaman air yang cetek.
Berdasarkan kepada kesan gigitan ke atas mangsa, Pusat Marin Durban mengesahkan serangan tersebut telah dilakukan ikan jerung dari spesies Zambezi. Ia adalah sejenis karnivor laut yang mempunyai saiz yang sama besar dengan manusia dewasa dan sering dilihat di sekitar kawasan berhampiran.

Siri serangan jerung itu telah menimbulkan suasana panik di kota Durban. Tragedi itu sekaligus meragut kemasyhuran yang dimiliki oleh kota Durban selama ini.
Pengunjung sudah tidak berasa selamat untuk menikmati suasana pantai di situ, sehingga lebih daripada separuh penghuninya meninggalkan kota tersebut.
Tersentak dengan keadaan itu, kaum pemodal serta para pengusaha resort telah mendesak pihak berkuasa tempatan melakukan sesuatu bagi memulihkan keadaan.
Mereka bimbang sekiranya keadaan itu berterusan, sektor pelancongan akan terjejas teruk dan sudah pasti akan menyebabkan kerugian berlipat ganda kepada kaum pemodal. Situasi itu turut memberi kesan kepada penduduk tempatan yang mencari rezeki dalam sektor berkenaan.

Pada 6 Januari 1958, tanpa perancangan rapi, pihak berkuasa tempatan Durban yang diketuai oleh Kapten Terry-Lloyd telah melakukan kaedah pencegahan yang kontroversi untuk menghalau jerung dari pesisir pantai.
Mereka telah memasang enam butir bom berskala besar di dasar laut dan meletupkannya. Letupan tersebut telah menggegarkan kota Durban sehingga menghasilkan percikan air setinggi 15 meter dan boleh didengari sejauh beberapa kilometer dari situ.
Akibat letupan itu, puluhan ribu hidupan laut mati termasuk beberapa ikan jerung spesies Zambezi. Bangkai-bangkai ikan timbul di permukaan air dengan kesan kecederaan teruk. Ada yang terburai isi perut dan ada juga yang hancur berkecai. Sementara ikan-ikan yang masih hidup pula telah ditembak oleh skuad penembak pihak berkuasa tempatan Durban yang bersedia menanti di permukaan.
Tindakan tersebut mendapat reaksi yang berbeza di kalangan pencinta haiwan. Mereka menganggap ia sebagai satu tindakan bodoh kerana telah menyebabkan hidupan lain yang tidak bersalah seperti penyu turut terbunuh. Satu demonstrasi telah diadakan sebagai bantahan terhadap tindakan itu. Keadaan ini sedikit sebanyak telah menambahkan lagi ketegangan di kota Durban.

Dari kota kemasyhuran kepada kota hantu
Saki-baki pelancong yang masih menghuni kota tersebut melihat sendiri bagaimana ekosistem semula jadi pantai berkenaan telah dimusnahkan. Hanya untuk mengusir beberapa ekor jerung, puluhan ribu hidupan laut yang lain terlibat sama. Bangkai-bangkai ikan memenuhi permukaan air.
Sekalipun pihak berkuasa tempatan mempertahankan tindakan mereka dengan alasan untuk menjaga keselamatan pengunjung, ia tetap sukar diterima. Tindakan kejam itu dianggap sebagai alasan untuk menjaga poket-poket kaum pemodal.
Lanjutan daripada tunjuk perasaan itu, ekonomi kota Durban yang telah pun lesu menjadi semakin parah. Dari hari ke hari, semakin ramai pelancong beredar dari kota itu.
Seminggu selepas letupan pengusiran ikan jerung itu dilakukan, pihak berkuasa tempatan telah mengumumkan bahawa kawasan pantai telah bebas daripada ancaman jerung.
Namun, persepsi negatif tentang bahaya serangan jerung di pantai ini masih lagi tersebar luas. Orang awam masih bimbang untuk melakukan aktiviti air. Pelbagai strategi pelancongan telah dilakukan oleh pihak kerajaan dan swasta untuk menggamit semula pelancong ke kota itu, termasuk mengadakan pelbagai promosi di luar jangkaan.
Dalam tempoh dua bulan sahaja, perkembangan ekonomi kota Durban sedikit demi sedikit mulai pulih.
Tetapi pada 3 April 1958, seorang remaja, Nicholas Francois Badenhorst dilaporkan telah diserang oleh jerung ketika sedang melakukan aktiviti snorkel. Beliau mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di seluruh anggota badan.

Dua hari selepas itu, seorang ibu kepada empat orang anak, Fay Bester yang berusia 28 tahun turut maut dibaham jerung ketika sedang mandi di gigi pantai yang hanya sedalam paras lutut sahaja.
Siri kedua serangan jerung ini sekali lagi menggegarkan kota Durban dan menimbulkan suasana panik. Pengunjung sudah tidak lagi berasa selamat untuk bercuti di situ. Kali ini hampir semua pengunjung telah angkat kaki meninggalkan kota itu.
Fasa serangan kedua ini menyebabkan suasana menjadi parah. Ekonomi Durban merudum teruk kerana sektor pelancongan telah lumpuh sepenuhnya.
Kota Durban ibarat seperti kota hantu. Tiada lagi hiruk pikuk seperti dulu. Yang tinggal hanyalah deretan-deretan kedai, hotel dan chalet yang lengang tanpa pengunjung.
Dalam tempoh beberapa bulan sahaja, banyak perniagaan telah jatuh muflis. Keadaan menjadi bertambah genting apabila sebahagian besar anak tempatan berhijrah ke tempat lain untuk mencari pekerjaan.

Bagi menyelamatkan semula keadaan, pihak berwajib telah menuntut penjelasan ahli akademik untuk menjawab persoalan bagaimana serangan jerung ini boleh berlaku.
Ini kerana, sekalipun jerung merupakan spesies karnivor, tetapi haiwan ini tidak akan menyerang manusia kerana manusia bukan makanannya. Apatah lagi serangan tersebut berlaku pada paras air yang sangat cetek, secara tak langsung ia diklasifikasikan sebagai sesuatu yang mustahil untuk berlaku. Justeru, pasti ada faktor lain yang mendorong mereka berbuat demikian.
Seorang ahli biologi marin tempatan, Dr. Harris mendapati, serangan tersebut bukan dilakukan oleh seekor atau dua ekor jerung sahaja, tetapi mungkin lebih daripada itu. Berdasarkan data-data yang diperoleh, terdapat beratus-ratus ekor jerung berkeliaran di sepanjang pantai Kwazulu-Natal ketika musim itu. Apa yang menyebabkan kawanan jerung itu berlegar berhampiran pantai?
Dalam kajiannya, Dr. Harris merumuskan ia berlaku disebabkan beberapa faktor. Kehadiran ikan paus serta laluan kapal dagang yang sibuk telah menyebabkan sumber makanan ikan jerung bergerak ke tepi pantai. Keadaan ini telah mengubah ekosistemnya dan jerung-jerung tersebut tiada pilihan lain selain mengikut jejak sumber makanannya itu.
Dalam masa yang sama, bulan Disember adalah permulaan berlakunya ribut di kawasan berkenaan. Angin kencang telah membuatkan laut bergelora. Faktor ini menyebabkan air di pantai menjadi keruh kerana keladak pasirnya naik ke atas dan bercampur dengan air.
Kehadiran jumlah pelancong yang meningkat berlipat ganda pada tahun berkenaan turut menjadi penyumbang kepada serangan ini. Disebabkan itulah jerung-jerung tersebut telah menyerang manusia kerana ia keliru di antara manusia dan sumber makanan sebenarnya. Dalam erti kata lain, faktor persekitaran telah menyumbang kepada perubahan tingkah laku haiwan ganas itu.
Ekoran daripada pendedahan itu, pihak berwajib telah mengambil tindakan dengan memasang jaring sejauh 400 meter dari gigi pantai bagi menghalang serangan ini berulang kembali. Dalam tempoh percubaan, strategi ini dilihat berjaya kerana tiada lagi data yang menunjukkan ikan jerung menghampiri pantai.
Selama hampir satu dekad selepas tragedi yang digelar ‘Black December’ ini, kota Durban seperti ‘hidup segan mati tak mahu’. Namun, beberapa tahun selepas itu, stigma masyarakat kembali berubah.
Durban yang suatu ketika dahulu telah pincang secara perlahan-lahan bangun mengukuhkan semula sektor pelancongan mereka. Kini, Durban kembali gah sebagai salah satu destinasi pelancongan terkenal selepas tiada lagi siri serangan jerung direkodkan.

______________
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

