Tiada jaminan Pilihan Raya Datuk Bandar KL bawa perkhidmatan, governans baik – Takiyuddin

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

TIDAK ada jaminan bahawa Pilihan Raya Datuk Bandar Kuala Lumpur (KL) secara automatik membawa kepada penyampaian perkhidmatan atau governans lebih baik.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, sistem sedemikian juga boleh membawa kepada masalah tambahan lain.

Menurut Takiyuddin, ia termasuk pempolitikan pentadbiran bandar raya; populisme elektoral; konflik Datuk Bandar yang dipilih dengan Kerajaan Persekutuan serta ketidakstabilan dasar yang dipacu oleh kitaran pilihan raya, bukan dasar perancangan bandar jangka panjang.

Katanya, Datuk Bandar yang memiliki keabsahan demokratik tanpa kuasa undang-undang yang ditetapkan secara jelas akan hanya melemahkan, bukan memperkuat kepimpinan dan governans yang berkesan.

“Tanpa menangani isu-isu teras ini terlebih dahulu, cadangan Pilihan Raya Datuk Bandar berpotensi mewujudkan harapan palsu dalam kalangan orang.

“Selain itu, ia menimbulkan masalah governans lain yang akan semakin melemahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akibat salah fokus dan keutamaan.

“Justeru, ahli-ahli Parlimen PN menggesa kerajaan supaya menyemak semula fokus kajian yang dicadangkan dengan mengutamakan reformasi institusi, pentadbiran dan undang-undang yang lebih realistik dan komprehensif bagi memperkukuh kecekapan, profesionalisme dan akauntabiliti DBKL.

“Bukannya mengheret rakyat ke arah eksperimentasi dan roller coaster politik dan idea yang berbahaya serta tidak berpijak di alam nyata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, ahli-ahli Parlimen PN percaya langkah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkait cadangan itu bagi memperkukuh peranan dan kecekapan DBKL sebagai terlalu simplistik, naif dan salah arah.

Tegasnya, kecekapan pentadbiran sesebuah bandar raya tidak sangat bergantung kepada cara bagaimana kepimpinannya ditentukan sama ada dipilih atau dilantik.

Sebaliknya beliau berkata, ia berdiri atas kekuatan institusi, sistem governans dan budaya pengurusannya.

“Jika objektif cadangan itu benar-benar bertujuan meningkatkan pencapaian DBKL, maka pendekatan yang lebih realistik dan praktis ialah dengan memfokuskan kajian kepada isu-isu langsung pentadbiran dan governansnya.

“Ini termasuklah isu-isu struktur organisasi DBKL, mutu kepimpinan, pengurusan sumber manusia, koordinasi antara unit, agensi dan kerajaan Pusat, integriti dan mekanisme penguatkuasaan, aturan keutamaan serta mutu, kepantasan dan ketekalan pembuatan keputusan.

“Selain itu, cadangan tersebut juga menimbulkan isu-isu perundangan dan Perlembagaan serius yang perlu ditangani terlebih dahulu sebelum perbincangan mengenai pilihan raya tersebut boleh bermula,” katanya.

Baca artikel lain: ‘Mereka bersatu kerana kuasa’, Pemuda UMNO bantah pilihan raya Datuk Bandar KL

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas berkata, Kuala Lumpur adalah sebuah Wilayah Persekutuan yang diwujudkan bawah Perkara 95D Perlembagaan Persekutuan dan pentadbirannya diletakkan bawah tanggungjawab langsung kerajaan pusat.

Sementara itu DBKL sendiri ditadbir terutamanya mengikut Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 dan undang-undang subsidiari yang berkaitan dengan kuasa, fungsi dan akauntibiliti yang jelas ditetapkan dalam kerangka pentadbiran persekutuan.

Justeru apa-apa langkah ke arah Pilihan Raya Datuk Bandar menuntut kajian semula komprehensif ke atas undang-undang sedia ada, termasuk Akta Ibu Kota Persekutuan dan undang-undang berkaitan. Ini termasuklah pertimbangan teliti mengenai bagaimana peranan tersebut boleh wujud bersama-sama bidang kuasa Menteri Wilayah Persekutuan dan eksekutif persekutuan lain.

Tidak seperti pihak berkuasa tempatan yang ditadbir bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, Kuala Lumpur tidak tertakluk bawah bidang kuasa negeri, sementara struktur pentadbirannya juga tidak sama.

Tanpa pindaan undang-undang dan perlembagaan yang jelas berkait skop kuasa eksekutif, bidang kuasa belanjawan, lini akauntibiliti dan mekanisme penyuraian konflik, pengenalan Pilihan Raya Datuk Bandar berisiko mencetuskan kekeliruan institusi, pertindihan bidang kuasa serta potensi konflik dan cabaran undang-undang.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Video AI didakwa fitnah, Fadhlina buat laporan polis

KETUA Wanita PKR, Fadhlina Sidek membuat laporan polis susulan penyebaran video menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang didakwa berniat...

More Articles Like This